Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar akan membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk terus belajar.
Ini kerana MRSM berbayar hanya dikhususkan untuk mereka yang berkemampuan manakala MRSM di luar bandar boleh dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, tempat yang terhad di MRSM menyebabkan pelajar daripada keluarga miskin terpaksa bersaing dengan pelajar daripada golongan berada untuk merebut tempat ke sekolah berkenaan.
“Maka dengan mewujudkan MRSM khusus berbayar, tempat yang diisi oleh pelajar golongan berada boleh diberi kepada pelajar miskin luar bandar,” Kata Ismail dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia.
Namun katanya cadangan tersebut masih di peringkat kajian awal dan belum dibawa ke mesyuarat Majlis Mara, malah belum dirujuk kepada kementerian untuk proses kelulusan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata dengan mewujudkan MRSM untuk mereka yang berkemampuan akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah kerana tidak perlu berebut tempat ke MRSM.
"Jadi, tanggapan MRSM berbayar akan mengurangkan tempat untuk pelajar miskin luar bandar adalah salah sama sekali, kerana MRSM berbayar sebenarnya akan menambah tempat untuk pelajar miskin luar bandar yang dahulunya diisi oleh pelajar anak orang berada,” katanya.
MARA menerima lebih 60,000 permohonan sedangkan MRSM hanya mampu menawarkan tempat kepada 7,500 pelajar baru Tingkatan Satu dan 2,000 tempat kepada pelajar Tingkatan Empat.
Kata Ismail lagi, matlamat penubuhan MRSM adalah sebagai agen perubahan sosioekonomi penduduk luar bandar dan golongan kurang berkemampuan.
Namun kerana sistem pendidikan MARA yang merangkumi aspek rohani dan jasmani, MRSM menjadi pilihan ramai ibu bapa yang menginginkan anak mereka mendapat pendidikan di sekolah berkenaan.
Sementara itu, Ismail mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu itu.
“Saya harap semua pihak mempunyai fikiran terbuka terhadap cadangan ini dan tidak mempolitikkan perkara ini. Cadangan ini masih di peringkat kajian awal, belum dibawa ke mesyuarat Majlis MARA,” katanya.