Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebenaran bekerja etnik Rohingya bermula 1 Mac
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk Pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) etnik Rohingya akan bermula pada 1 Mac ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata projek perintis itu membolehkan seramai 300 pemegang kad UNHCR etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat.

"Mereka ini akan ditempatkan di syarikat-syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan pengilangan bertujuan untuk memberikan kemahiran dan sumber kewangan bagi mereka membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga," katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Isu-isu Berkaitan UNHCR di Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata inisiatif membenarkan etnik Rohingya bekerja, secara tidak langsung dapat menangani isu-isu pemerdagangan orang, dengan lebih berkesan.

Selama ini, katanya, ketiadaan status imigresen kepada etnik Rohingya menjadikan mereka golongan yang berpotensi untuk dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu sebagai buruh paksa dan pekerja yang tidak sah di negara ini.

Ahmad Zahid berkata sehingga 31 Disember tahun lepas (2016), terdapat seramai 149,474 pemegang kad UNHCR dari 62 negara direkodkan di Malaysia.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 133,517 atau 89 peratus adalah dari Myanmar, dengan 55,565 daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa mencari pendekatan terbaik untuk menguruskan pemegang kad UNHCR walaupun negara ini tidak menjadi ahli Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

"Pendekatan terbaik yang digunakan adalah berdasarkan rasa perikemanusiaan yang dizahirkan melalui bantuan dan sokongan kKerajaan," katanya

Menurutnya antara usaha lain yang dilaksanakan termasuk menambah baik Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 tahun 2009 mengenai pemegang kad UNHCR bagi memastikan pengurusan pemegang kad itu lebih kemas dan teratur.

Ahmad Zahid berkata MKN sedang menambah baik Arahan No. 23 itu bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa dan situasi pergerakan tidak sah pendatang di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, beliau berkata pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) turut digunakan dalam menguruskan isu-isu pelarian dengan lebih berkesan melalui penubuhan pasukan petugas bersama (JTF) Malaysia.

"JTF ini melibatkan kerjasama enam kementerian utama dengan pihak UNHCR untuk memastikan kesahihan pemegang kad UNHCR adalah mereka yang benar-benar telah sah diperakukan," katanya.

Tambahnya, Malaysia sentiasa menjalinkan kerjasama rapat dengan UNHCR sebagai badan utama yang mengendalikan pelarian di bawah PBB.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS