Pemandu lori yang cedera dibelasah beberapa lelaki di luar kondominium di Ampang pada 14 Januari lalu, Nasrul Faiz Zulfahmi, hari ini memberi keterangan kepada polis di Serdang.
Dia yang mengalami kecederaan serius termasuk terpaksa dijahit, diambil keterangannya berhubung siasatan kes berhimpun secara haram.
Nasrul tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang jam 11 pagi tadi dan masuk memberi keterangan kira-kira 30 minit kemudian. Dia keluar dari balai itu menjelang jam 1 petang.
Bagaimanapun Nasrul tidak ditemani peguam.
Ditemui media, Nasrul berkata, polis bertanya mengenai perhimpunan dihadirinya bersama sejumlah pemandu lori di Plaza Tol Sungai Besi pada 22 Januari lalu.
Katanya, antara yang ditanya polis ialah sebab mereka berhimpun di lokasi berkenaan.
Seorang lagi yang memberi keterangan kepada polis ialah Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah, dan seorang pemimpin persatuan pemandu lori yang hanya dikenali sebagai "Tracker and Sniper Khairi Ali".
Dalam kejadian pada 14 Januari lalu Nasrul dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai pengawal peribadi dan rakaman insiden berkenaan menjadi tular di media sosial.
Ekoran serangan itu Nasrul pelbagai kecederaan termasuk yang memerlukannya menerima 13 jahitan di leher.
Susulan daripada kejadian itu kira-kira 200 pemandu lori berhimpun di Plaza Tol Sungai Besi sebagai tanda solidariti.
Harap hukuman adil
Sementara itu ketika ditanya media, Nasrul berkata, dia masih mengalami trauma ekoran kejadian menimpanya itu.
“Kesan ada lagi, tak boleh nak hilang.
"Saya masih takut dipukul gengster,” katanya.
Bagaimanapun Nasrul berkata dia tidak lagi menerima sebarang ugutan seperti minggu lalu.
Nasrul ketika ditanya mengenai lima individu yang memukulnya dihadapkan ke mahkamah Ampang hari ini berharap agar mereka menerima hukuman yang setimpal.
“Hukuman setimpal dengan apa yang dia buat pada saya pada hari itu. Sekarang saya rasa macam lain sikit, takut kerana dia ramai geng yang dalam video tu,” katanya.
Sementara itu Khairi pula berharap kejadian yang terjadi ke atas Nasrul akan membuka mata masyarakat mengenai keadaan sebenar pemandu lori yang sejak dulu dipandang sebelah mata.
“Kes pemandu lori dipukul sebenarnya dah lama, kami dipukul seolah-olah kami penjenayah.
“Jadi kes ini jadi pemangkin untuk kita nak bagi masyarakat pandang kita sikit. Selama-lama (dipandang hina) macam ini tak tahanlah kita. Tahu tak penat tak penat dia macam mana?” katanya.
Khairi turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu pantas menuding jari kepada pemandu lori jika berlaku kemalangan.
Sementara itu, Ridzuan pula berkata sekiranya mahkamah tidak memberikan keputusan yang adil, mereka akan mengadakan perhimpunan lori besar-besaran di depan pejabat Peguam Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan.
"Kalau mahkamah membuat keputusan yang tidak adil, kami akan mengumpul lebih daripada 1,000 pemandu lori dan kita akan buat protes besar-besaran.
“Memang hari ini ramai nak hadir tapi kami kata jangan dulu, tunggu dulu. Kita nak keputusan segera, perlu ambil tindakan segera terhadap orang yang terlibat dalam perkara ini, namun semuanya bergantung kepada keputusan mahkamah,” katanya.