Seorang penerbit bebas televisyen yang ditahan ketika menjalankan tugas di sekatan Orang Asli (OA) di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan, menyifatkan tindakan pegawai Jabatan Perhutanan itu sebagai 'tidak wajar'.
Jules Ong, yang ditahan bersama dengan juruvideo Lim Chee Too dan 16 aktivis Orang Asli pada hari Selasa, berkata terdapat sekitar 20 hingga 30 anggota jabatan itu yang berpakaian seragam.
"Pada asasnya mereka cuba menghalang kami membuat penggambaran. Mereka datang, mereka nampak kami dan minta kami berhenti," kata Ong sambil menambah bahawa anggota berkenaan mengelilingi mereka dan menjerit kepada mereka.
"Mereka cuba untuk menakut-nakutkan kami," kata Ong ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Ong berkata pihak berkuasa itu juga cuba merampas peralatan mereka.
"Tindakan mereka itu sama sekali tidak wajar," katanya.
Manakala pihak berkuasa mendakwa mereka menceroboh tanah hutan simpan, Ong berkata, beliau telah cuba berunding dan memberi alasan bahawa mereka hanya menjalankan tugas untuk melaporkan perkara yang mempunyai kepentingan awam.
Ong berkata, mereka akhirnya digari dan dipaksa menyerahkan peralatan mereka, sebelum dibawa ke pejabat Jabatan Perhutanan negeri dan kemudian diserahkan kepada pihak polis.
Sepanjang proses soal siasat, Ong berkata, pihak berkuasa itu berulang kali bertanya sebab-sebab mereka berada di sekatan tersebut.
"Kami menjawab beberapa soalan dan melaksanakan hak kami untuk berdiam diri terhadap soalan lain," katanya.
Ong berkata polis juga bertanya sama ada mereka ada kaitan dengan aktivis anti-pembalakan, termasuk peguam Siti Kassim.
"Kami hanya kata kami ditugaskan oleh Channel News Asia," katanya.
Ong berkata Siti Kassim akhirnya tiba dari Gua Musang dan berunding untuk membebaskan mereka dengan jaminan polis pada pukul 10 malam Selasa.
"Polis mahu menyimpan rakaman kami tetapi kami berunding dengan mereka untuk menyimpan kad SD asal dan buat satu salinan untuk kita," katanya.
Dalam mengimbau pengalaman pahit mereka itu, Ong berkata beliau juga telah mencuba untuk mendapatkan temu bual dengan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan mengemukakan permintaan rasmi untuk memaparkan operasi mereka dalam dokumentari selama sejam, tetapi tidak ada respons.
Jabatan Perhutanan telah berkata tangkapan dibuat sebagai sebahagian daripada serbuan penguatkuasaan bersama untuk merobohkan sekatan yang didirikan oleh masyarakat Orang Asli di beberapa jalan menuju ke hutan simpan negeri di Gua Musang.
Jabatan itu juga mengulangi bahawa sekatan itu didirikan secara tidak sah kerana ia tidak berada di tanah kampung Orang Asli, tetapi dalam hutan simpan yang ia ditadbirnya.