Pelbagai alternatif dikemukakan kepada kerajaan Selangor dalam rangka mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri itu, termasuk menggantikannya dengan beg kertas.
Bagaimanapun, bagi exco Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, perkara itu bukan pilihan.
Katanya, kempen itu sebenarnya mahu mendidik pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah, bukan untuk menggantikan beg plastik dengan bahan lain.
"Untuk kempen mengurangkan pengguna beg plastik matlamat utama bukan untuk menggantikan beg plastik tetapi mendidik rakyat menggunakan beg sendiri.
"Kalau cadang untuk menggantikan beg plastik dengan kertas atau beg bebas plastik dan sebagainya ia tidak mencapai matlamat tersebut," kata Elizabeth dalam sidang media hari ini.
Di sebalik rungutan, Elizabeth juga mendakwa tinjauannya sendiri mendapati dasar tiada beg plastik setiap hari mulai 1 Januari lalu menerima maklum balas positif sejak mula dilaksanakan pada 1 Januari.
'Skim Peduli Sihat'
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan perkhidmatan penjagaan kesihatan 'Skim Peduli Sihat' yang dilaksanakan kerajaan Selangor sebagai ole-ole memancing undi.
Sebaliknya Azmin yang juga anggota parlimen Gombak itu berkata skim tersebut dirancang kerana kerajaan negeri prihatin dengan peningkatan kos sara hidup.
"Saya tidak tahu tarikh PRU, macam mana ini (skim) untuk PRU (pilihan raya umum),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan skim tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak hari ini.
Skim untuk kumpulan B40 terutama itu membabitkan sejuta rakyat Selangor bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan di lebih 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.