Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Polis masih menyiasat kes buli membabitkan seorang remaja yang didakwa kini ditutup.

Malah kes berkenaan disahkan sedang disiasat dan segala bukti berkaitan sedang dikumpul.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor memberitahu Malaysiakini, pegawai yang ditugaskan bagi kes berkenaan juga sedang mengesan saksi lain bagi mengambil keterangan mereka.

Othman juga menafikan dakwaan dibuat kakak mangsa yang menganggap pihak berkuasa tidak lagi menyiasat kes berkenaan.

Semalam Norsyahirah Zolkifle memberitahu media, adiknya, Muhammad Syazwan terpaksa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan kesan daripada serangan dialaminya di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, pelajar yang didakwa terlibat dalam serangan ke atas adiknya kelihatan masih bersekolah seperti biasa.

Muhammad Syazwan, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai, Kuala Lumpur, menjadi mangsa buli pada September tahun lalu, namun hanya memaklumkan kepada keluarganya mengenai insiden itu selepas mengalami sakit pada perut ke bawah pada November.

Ditawarkan selesai kes

Bimbang sesuatu yang serius Norsyahirah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

“Adik tidak pernah memberitahu dia dibuli disekolah. Saya juga sibuk menguruskan ibu yang sakit, tetapi ayah sendiri melihat ada perubahan ketara adik yang menahan kesakitan.

“Bila adik mengakui dia dibuli, saya bawa dia ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. Selepas itu doktor mengesahkan ada kesan patah bahagian bawah pinggulnya. Saya juga membuat laporan polis,” kata Norsyahirah.

Menurut Syahirah, keluarga suspek ada berjumpa dengannya sebelum ini dan menawarkan bayaran tertentu supaya kes berkenaan diselesaikan.

Namun dia menolak kerana bimbang ada masalah yang lebih besar bakal hadapi adiknya.

“Saya ada bertemu dengan keluarga salah seorang pembuli dan mereka mahu membayar RM2,000 sebagai ganti rugi terhadap apa yang berlaku.

"Saya enggan terima tawaran itu kerana ia tidak setimpal dengan keadaan adik yang saya tidak tahu sama ada ia akan beri kesan pada masa panjang atau tidak.

“Paling saya kesal apabila pihak polis telah ambil tindakan menutup kes ini dengan alasan bawah umur.

"Saya bukan mahu membesar-besarkan kes ini, tapi keadaan adik saya yang lemah sehingga tidak mampu membuang air besar secara normal perlu mendapat pembelaan,” katanya lagi.

Sementara itu Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar melawat Muhammad Syazwan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Remaja terbabit terlantar di PPUM itu selepas dikatakan hilang kawalan pergerakan usus dipercayai kesan daripada kejadian buli menimpanya sebelum ini.

Mengulas pertemuan itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR melahirkan rasa kecewanya selain terkejut dengan tindakan pihak yang tidak memandang serius apa yang berlaku ke atas Muhammad Syazwan.

"Saya amat kecewa kerana tidak mendapat jawapan daripada pihak kementerian, lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan kesihatan Syazwan yang berulang-alik ke hospital sejak November lalu ekoran kesukaran membuang air besar serta kecederaan sistem saraf yang serius.

"Saya melihat pengetua dan pentadbiran sekolah bertindak pasif dalam kes buli ini. Ia tidak boleh diterima dan sekolah sepatutnya menjadi lapisan utama memerangi kes buli di sekolah.

"Kita hantar anak ke sekolah sepatutnya kita rasa yakin anak kita berada dalam keadaan selamat, malangnya yang diambil kira adalah imej sekolah bukan soal keselamatan anak-anak," kata Nurul Izzah.

Kata beliau, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri untuk memanjangkan kes tersebut.

"Kita bercakap tentang kesan jangka masa panjang.

"Pada umur begitu muda dia harus berdepan dengan dengan risiko yang diterimanya hari ini. Kita juga tidak mahu pelajar lain menjadi mangsa kerana mereka yang didakwa sebagai pelaku masih lagi bersekolah seperti biasa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS