Polis dituntut menyiasat kes serangan terhadap seorang pemandu lori di Ampang, Selangor pada 14 Januari lalu, bawah peruntukan mencederakan, bukan merusuh.
Aktivis politik Khalid Ismath berhujah siasatan sekarang bawah Seksyen 147, memberikan ruang kepada pesalah bebas dan hukumannya diperuntukkan juga terlalu ringan.
“Saya meminta agar pihak polis menyiasat kes ini bawah seksyen lain yang memperuntukkan hukuman lebih berat dan lebih menyebelahi orang yangg dizalimi, contohnya bawah Seksyen 325, iaitu mencederakan,” katanya.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan polis Khalid, 27, di balai polis Travers di ibu negara petang ini.
Dalam kejadian 14 Januari lalu, video menunjukkan Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, diserang empat lelaki tersebar secara meluas di Internet.
Nasrul berkata beliau dibelasah selepas lori dipandunya secara tidak sengaja melanggar kereta Mercedes-Benz yang diletakkan di situ.
Polis telah menahan beberapa individu setakat ini.