Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertekad untuk membuat lebih banyak pendedahan mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mulai minggu depan.
'Tekad' itu tercetus susulan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyindir beliau adalah di sebalik kempen fitnah terhadap TH.
"Oleh kerana Datuk Seri Jamil Khir Baharom memetik nama saya malah menuduh saya memfitnah Tabung Haji, maka saya akan kembali memberi fokus kepada isu-isu kerugian dan ketirisan di Tabung Haji yang merugikan jemaah haji (yang sebahagian besarnya golongan berpendapatan rendah).
"Minggu depan, selain isu Felda dan MRT yang kini saya sentuh, saya akan juga akan memulakan siri pendedahan baru mengenai Tabung Haji.
"Jika pendedahan-pendedahan baru ini tidak dijawab dengan ikhlas dan telus, lebih ramai yang akan mengeluarkan simpanan mereka dari Tabung Haji kerana hilang keyakinan dengan pengurusannya yang dilihat diperkudakan oleh ahli politik," kata beliau yang juga ahli Parlimen Pandan.
Baru-baru ini, Jamil Khir mendedahkan sebanyak RM500 juta wang simpanan dikeluarkan dari TH sepanjang tahun lalu berikutan pelbagai fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap institusi itu.
Kata Jamil Khir, tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan wakil rakyat pembangkang menyebabkan 3,600 pendeposit menarik diri daripada pergi mengerjakan ibadah itu.
"Fitnah ini menyebabkan pendeposit melakukan tindakan itu, malah dalam ruang untuk alasan disediakan (dalam borang) mereka menulis 'saya hilang kepercayaan kepada Tabung Haji'," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.
"Bayangkan kalau duit TH dilabur dalam bentuk aset seperti rumah, kilang dan tanah, mana kita cari tunai (untuk pulangkan wang kepada pendeposit), nasib baik kita ada tunai yang mampu tampung," katanya.
Walaupun laporan itu tidak menyebut sebarang nama, namun adalah dipercayai ia merujuk kepada kenyataan Rafizi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Jamil Khir perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah beliau menyelesaikan kepincangan pengurusan di TH untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
"Bukannya bermain politik dengan cuba menimbulkan kebencian rakyat terhadap saya apabila gagal menjawab isu-isu yang saya timbulkan," tambah Rafizi.