Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Dr M cabar Apandi letak jawatan
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 10:19 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Peguam Tun Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla mencabar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan dengan serta merta dan memohon maaf kepada rakyat negara ini.

Jika tidak mahu berbuat demikian, kata Haniff, beliau perlu membuka semula kertas siasatan berhubung dana RM2.6 billion yang pernah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan Haniff tersebut adalah susulan keputusan mahkamah Singapura pada bulan ini yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Pengurus Falcon Private Bank Switzerland cawangan Singapura, Jens Fred Sturzenegger.

Sturzenegger dijatuhkan hukuman penjara 7 bulan dan denda S$128,00, katanya, atas kesalahan antara lainnya penyembunyian maklumat berkaitan transaksi kewangan melibatkan dana 1MDB.

"Dua fakta terpenting yang amat relevan muncul dari kes Sturzenegger itu ialah Jho Low yang dikenali sebagai individu yang wujud sebenarnya individu bernama Eric Tan yang mempunyai beberapa akaun di bank itu dengan satu daripadanya atas nama Tanore Finance Corporation.

"Kedua pula ialah RM2.6 billion yang masuk ke akaun bank peribadi Najib sebenarnya dari akaun bank Tanore Finance Corporation yang di Falcon Private Bank yang diuruskan oleh Jho Low @ Eric Tan," jelas beliau.

Justeru, tambahnya, kenyataan Apandi yang memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan jenayah terhadap Najib berkaitan dana RM2.6 billion itu adalah tidak benar.

"Walhal, kenyataan Apandi masih tinggal sebagai kenyataan semata-mata kerana belum disahkan oleh mana-mana mahkamah sekalipun sedangkan kedua-dua fakta di atas, adalah melalui sabitan akuan salah pada rekod mahkamah dan terbukti di sisi undang-undang,

"Kini, difahami kenapa Apandi tidak mengambil mana-mana langkah munasabah supaya Jabatan Peguam Negara mewakili Malaysia dan menjadi pencelah atau peguam pemerhati di Mahkamah Singapura," katanya lagi.

Pada 11 Januari yang lalu, Sturzenegger, warga Switzerland yang merupakan individu kelima yang didakwa berkaitan siasatan Singapura ke atas 1MDB ate Bank di Singapura mengaku salah terhadap enam pertuduhan.

Sturzenegger didakwa kerana gagal mematuhi arahan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) untuk melaporkan pemindahan mencurigakan bernilai AS$1.262 bilion kepada dua akaun bank Falcon pada tahun 2013.

Beliau turut didakwa berbohong kepada pegawai MAS untuk mengalihkan perhatian daripada menyiasat beberapa akaun bank dikawal oleh Low dengan mendakwa akaun-akaun tersebut 'dimiliki dengan manfaat' oleh Eric Tan Kim Loong yang diketahui bersekutu dengan Low.

Sturzenegger dikatakan berbohong kepada para penyiasat tentang tidak pernah berhubung dengan Low.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS