Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuraida gagal serah writ saman terhadap Jamal
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 3:15 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa writ saman difailkan Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos gagal diserahkan kepada Jamal sehingga hari ini.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Zuraida memberitahu pemberita sehubungan itu hakim S Nantha Balan menetapkan 16 Jan untuk pengurusan kes selepas dimaklumkan bahawa writ saman itu gagal diserahkan kepada Jamal selaku defendan di dalam kes berkenaan.

"Pihak kami telah berusaha untuk menyerahkan writ saman kepada defendan di kediamannya termasuk pejabatnya tetapi masih gagal," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar hakim.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan permohonan penyampaian ganti sama ada menggunakan ruang iklan di dalam akhbar, meletakkan writ saman itu di papan kenyataan mahkamah atau menghantar melalui pos satu salinan writ saman ke alamat defendan.

Pada 17 Nov tahun lepas, Zuraida memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Zuraida mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai Anggota Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS