Kamal Hisham Jaafar, bekas peguam Sultan Johor, memohon Mahkamah Sesyen Jenayah Johor Bahru mengeluarkan sepina kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Peguam kepada pengamal undang-undang itu Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, notis permintaan itu telah difailkan dan dimaklumkan kepada mahkamah hari ini.
“Hakim bicara tidak membuat apa-apa perintah kerana permintaan sepina itu baru sahaja difailkan,” katanya daripada tetuan Kamal Hisham & Associates.
Peguam bela berkata mereka turut mengemukakan 31 alasan bertulis, yang tidak dibacakan di mahkamah terbuka, tentang alasan-alasan mengapa Baginda harus disepina untuk menjadi saksi perbicaraan.
Mohd Khairul Azam berkata, saman kepada saksi yang dikemukakan itu meminta Baginda hadir pada hari ini dan esok dan tarikh-tarikh lain yang ditetapkan supaya dapat membantu perjalanan kes.
Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Hakim Mohd Nasir Nordin sebelum penangguhan terhadap perbicaraan yang bermula semalam.
Sementara itu, perbicaraan kes Kamal Hisham Jaafar, terhadap 17 pertuduhan pecah amanah dan pertuduhan bawah Akta Syarikat 1965, masuk hari kedua hari ini.
Perbicaraan hari kedua diteruskan dengan saksi pendakwa Noredayu Kahar daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi keterangan.
Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ku Hayati Ku Haron manakala pihak pembelaan pula diketuai oleh Shahruddin Ali.
Perbicaraan bersambung hari ketiga esok.
Kamal Hisham Jaafar, cuba memindahkan kes jenayah itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi permohonannya telah ditolak dan kini di peringkat rayuan.