Boleh dikatakan tidak ada asas langsung untuk melabel Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai satu bentuk rasuah sedangkan lebih 63 negara di seluruh dunia memberikan bantuan serupa dalam bentuk wang tunai kepada rakyat yang memerlukan.
Penolakan secara terang-terangan terhadap pemberian BR1M sebagai "rasuah politik" oleh ahli-ahli politik pembangkang tertentu adalah tidak wajar kerana bantuan berkenaan jelas membantu meringankan beban kewangan lebih tujuh juta rakyat Malaysia daripada golongan 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah(B40).
Naib Ketua Pemuda UMNO Senator Khairul Azman Harun berkata sangat malang apabila terdapat beberapa orang yang "ketagihan berpolitik" bertindak menjadikan satu program mudah seperti BR1M sebagai modal perdebatan.
"(Ia adalah) Satu inisiatif dasar yang jelas memberi manfaat kepada semua, tetapi dipolitikkan dengan teruk sekali sehinggakan terdapat pihak pembangkang yang bercadang untuk membatalkannya..." katanya dalam satu artikel karangannya baru-baru ini, yang turut disiarkan oleh beberapa portal berita dan akhbar.
Bendahari Pemuda MCA Micheal Lee berkata BR1M adalah sama seperti bantuan tunai atau skim bantuan kewangan lain yang dilaksanakan di seluruh dunia.
Katanya pada 2016 sahaja, seramai 7,280,340 pemohon mendapat kelulusan untuk menerima BR1M.
"Malah, Selangor mencatatkan bilangan penerima tertinggi, iaitu seramai 1,017,403," katanya, jelas membidas Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang menyifatkan pemberian BR1M sebagai rasuah.
Apabila BR1M diperkenalkan pada 2012, bantuan wang tunai RM500 diberi kepada golongan isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Sejak itu kuantum pembayaran semakin meningkat dan skim itu diperluaskan kepada lebih ramai rakyat merangkumi kategori pendapatan yang berbeza.
Pada tahun ini, penerima BR1M dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 dan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan, masing-masing akan menerima RM1,000 dan RM900.
Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan akan menerima RM450.
Dalam artikelnya baru-baru ini, Khairul Azman membuat perbandingan antara BR1M dan program pemindahan wang tunai yang dilaksanakan di Brazil dan Jepun untuk meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata kejayaan program Brazil, yang dipanggil Bolsa Familia adalah sangat dramatik dan kajian Institute of Applied Economic Research, Brazil pada 2013 mendapati negara itu berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar sebanyak 89 peratus dan mengeluarkan 36 juta keluarga daripada belenggu kemiskinan sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu.
Khairul Azman berkata Kabinet Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe meluluskan inisiatif 13.5 trilion yen pada Ogos 2016 untuk pemberian wang tunai kepada golongan berpendapatan rendah.
"Sebaliknya, dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah Malaysia, timbul pula pelbagai ura-ura di kalangan pembangkang untuk menghapuskan program tersebut jika mereka berkuasa kelak.
"Bagaimana kita boleh terjebak dalam keadaan antagonisme yang tidak rasional terhadap sebarang usaha kerajaan amatlah membingungkan," katanya.
Menegaskan bahawa kerajaan perlu terus melaksanakan skim BR1M walaupun mendapat kritikan daripada parti-parti politik pembangkang, penganalisis politik dan pensyarah Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Singapura juga menyediakan bantuan tunai bulanan kepada warga miskin di bawah skim ComCare kerajaannya.
Di bawah skim itu, isi rumah tunggal menerima S$500; dua orang, S$870; tiga orang, S$1,130; dan empat orang, S$1,450.
Sejak dilaksanakan pada 2005, ComCare telah membantu seramai 1.4 juta rakyat Singapura yang tidak mampu bekerja, tidak mempunyai sumber pendapatan dan mendapat sokongan terhad atau tiada sokongan keluarga.
Awang Azman, yang bertugas di Jabatan Sosiobudaya/Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu UM, berkata skim bantuan tunai secara langsung seperti BR1M bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia kerana sepanjang tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai Perdana Menteri, kerajaan persekutuan juga memberi bayaran khas atau wang ehsan kepada rakyat Terengganu selepas kerajaan negeri
pimpinan PAS berhenti menerima royalti minyak pada tahun 2000.
Kebelakangan ini, Dr Mahathir kerap membidas BR1M dan mendakwa bahawa ia adalah satu bentuk rasuah kerana kononnya ia bertujuan mendapatkan sokongan orang ramai agar mengundi parti pemerintah.
Awang Azman berkata kerajaan Selangor juga, sebenarnya pernah memberi bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang baharu berkahwin, tanpa mengambil kira jumlah pendapatan mereka.
Negara-negara lain yang mempunyai skim khas untuk membantu golongan memerlukan termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Mexico dan Indonesia.
Satu contoh program pemindahan wang tunai yang terkenal dan didokumenkan adalah PROSPERA Mexico, yang membantu 5.8 juta keluarga sejak 1997.
Walaupun sesetengah negara memberi baucar tunai, yang lain menyediakan kupon makanan atau wang tunai, dengan matlamat utama kerajaan untuk membantu golongan miskin tanpa mempedulikan kata-kata golongan pengkritik.
Dalam satu artikel bertajuk "Give Poor People Cash" yang disiarkan dalam isu September 2015 majalah The Atlantic, sebuah penerbitan berpangkalan di Amerika Syarikat, yang menyiarkan komentar ramai penulis mengenai isu-isu utama melibatkan hal ehwal politik semasa, penulisnya Charles Kenny berkata apabila bekas Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memperkenalkan sistem pemindahan wang tunai Bolsa Familia pada 2003, anggota-anggota politik pembangkang menyifatkannya sebagai penipuan terbuka dan tidak mungkin sampai kepada kumpulan sasaran.
Kenny, felo kanan di Center for Global Development, yang berpangkalan di Washington, menulis bahawa apabila terdapat bukti bahawa wang itu mencapai sasaran dan sampai kepada penerima miskin, pihak pembangkang terus mengecam skim itu tetapi kali ini mereka mendakwa bahawa ia adalah penghalang bagi orang ramai untuk mencari pekerjaan dan akan menambah kebergantungan mereka terhadap kerajaan.
- Bernama