SUKAN Apabila disebut sukan manakah yang paling popular di Malaysia, ramai yang pasti akan menyenaraikan bola sepak, badminton dan skuasy antara di kedudukan yang paling tinggi.
Namun, bola keranjang yang umumnya terkenal dalam kalangan pemain Cina di Malaysia dan Singapura, menampilkan ramai lagi pemain daripada kaum lain seperti Melayu dan India.
Siapa yang tidak mengenali Michael Jordan, Magic Johnson, Kareem Abdul Jabar, Kyrie Irving dan Kobe Bryant? Ini adalah antara pemain bola keranjang terkenal dari liga NBA.
Pasukan bola keranjang Malaysia merupakan antara yang terbaik di rantau Asean, terutamanya ketika tahun 70-an dan 80-an. Malaysia juga pernah melayakkan diri ke kejohanan dunia pada 1986 di Madrid, Sepanyol bersama China dan Korea Selatan yang juga mewakili zon Asia.
Sungguhpun begitu, arena bola keranjang dalam abad ke-21 buat Malaysia semakin mencabar dan prestasi pasukan lelaki kebangsaan kurang memberangsangkan. Malah, pasukan wanita negara berjaya meraih pingat emas dalam Sukan SEA yang lalu, meletakkan pasukan lelaki dalam bayangan - hanya setakat di tangga kelima.
Pasukan lelaki masih dalam misi mencari pingat mereka dalam Sukan SEA tahun ini yang bakal diadakan di Kuala Lumpur Jun ini. Mereka masih ketandusan pingat sejak 2011 dan menang pingat gangsa pada 2001, 2003 dan 2007. Pingat perak pula pernah dirangkul ketika Sukan SEA 1997.
Pelbagai krisis dan cabaran menimpa persatuan bola keranjang Malaysia atau lebih dikenali Maba sejak dekad yang lalu. Dari prestasi, kualiti dan sistem latihan hingga ke masalah politik dalaman yang merebak bagaikan barah di seluruh negara.
Dulunya stadium yang dipenuhi penyokong dan peminat bola keranjang, bilangannya semakin kurang dan lesu.
Nafas baru
Sungguhpun begitu, harapan baru bakal menyinari arena bola keranjang Malaysia selepas rombakan dan pemilihan jawatankuasa baru dalam Maba.
Malaysiakini sempat menemuramah presiden Maba yang baru dipilih, Datuk Lua Choon Hann ketika sesi latihan pasukan kebangsaan lelaki bersama Westports Malaysia Dragons.
Bagi beliau, nafas baru perlu disuntik dalam pasukan kebangsaan untuk 'menghidupkan' kembali zaman kegemilangan pasukan Malaysia. Sejak tahun lalu, Maba juga mula bekerjasama dengan juara liga ABL musim lalu, Westports Malaysia Dragons dalam program penstrukturan dan pembangunan bola keranjang.
"Kami perlukan tenaga positif dalam industri bola keranjang kebangsaan. Maba perlu laksanakan tanggungjawab untuk membangunkan potensi bola keranjang di Malaysia melalui akademi bola keranjang yang bakal diwujudkan dengan Dragons.
"Malaysia harus mencontohi negara-negara serantau dalam pengurusan pasukan secara profesional. Dulu, terdapat jurang yang amat besar di antara pasukan profesional Malaysia Dragons and kebangsaan, tiada persefahaman dari segi latihan dan pembangunan," ujar beliau.
"Lihat perubahan yang kita lakukan kini. Pasukan Dragons berlatih bersama-sama pasukan kebangsaan dalam satu sistem yang sama. Tiada lagi bezanya sistem di antara pemain junior dan senior, semuanya akan disatukan dalam sistem latihan yang sealiran," tambah Lua.
Langkah pertama
Bagi Teo Kok Hou, salah seorang pemain kebangsaan dan juga Malaysia Dragons, menyifatkan perubahan ini adalah keputusan yang paling baik untuk Maba.
"Sememangnya lebih baik dengan sesi latihan bersama. Dulu, saya merasakan Dragons dan pasukan kebangsaan bagaikan dua kelas yang berbeza. Ada sesetengah pemain berlagak sombong. Kini, tiada lagi perbezaan dan latihan sentiasa diadakan bersama.
"Tidak dapat dinafikan, lebih ramai lagi penyokong yang datang menyaksikan perlawanan beberapa tahun lalu. Stadium sentiasa dipenuhi semasa liga kebangsaan, tetapi kini bilangan penyokong semakin kurang. Saya percaya kita boleh menjadi lebih baik dan setanding dengan pasukan serantau," kata Teo.
Teo yang baru berumur 21 tahun adalah pemain kebangsaan yang berasal dari Pahang dan telah berkecimpung dalam arena bola keranjang sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Beliau juga mewakili Malaysia sejak berusia 15 tahun dan kini beraksi dalam pasukan Malaysia Dragons sebagai point guard.
Impian mengecapi pingat dalam mana-mana kejohanan termasuklah Sukan SEA bukanlah suatu angan-angan sahaja. Bayangan menaiki podium untuk digalaskan pingat untuk sukan bola keranjang mungkin menjadi kenyataan buat Malaysia.