Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gelandangan dipenjara 80 tahun, 110 sebatan rogol anak

Seorang gelandangan berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 232 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah kerana merogol anak kandungnya berusia 16
tahun.

Hakim Datin M. Kunasundari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas 11 pertuduhan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya itu antara 27 Ogos hingga 7 Sept tahun ini, yang akan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya akan menjalani hukuman penjara 80 tahun kerana sebahagian daripada hukuman itu diarahkan berjalan serentak.

Kesemua pertuduhan dibahagikan kepada empat fail berasingan yang mana tiga fail pertama mengandungi masing-masing tiga pertuduhan rogol yang dilakukan antara 27 dan 29 Ogos; 30 Ogos dan 2 September serta dari 3 hingga 5 September.

Fail keempat pula mempunyai dua pertuduhan rogol dan satu pertuduhan seks oral yang dilakukan antara 28 Ogos dan 7 September.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lorong Haji Taib di
sini.

Kunasundari menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan ke atas lelaki itu bagi setiap kesalahan rogol dalam tiga fail pertama, iaitu berjumlah 180 tahun penjara dan 90 sebatan atas sembilan pertuduhan rogol.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan di setiap fail berjalan serentak, menjadikan hanya 20 tahun penjara bagi tiga pertuduhan rogol yang bermakna tertuduh hanya hanya perlu menjalani hukuman 60 tahun penjara bagi sembilan pertuduhan dalam tiga fail tersebut.

Untuk tiga lagi pertuduhan dalam fail keempat, Kunasundari menjatuhkan
hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan 12 tahun penjara kerana melakukan seks oral, juga dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan di bawah fail itu, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 52 tahun, tetapi diperintahkan untuk menjalani hukuman itu serentak, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 20 tahun penjara untuk tiga pertuduhan.

Secara keseluruhannya, tertuduh akan menjalani hukuman penjara 80 tahun dan 110 sebatan.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan seks oral, lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kunasundari dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan keji.

"Tertuduh diamanahkan sebagai bapa yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada mangsa tetapi menjadi pemusnah terhadap masa depan mangsa.

Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma yang dihadapi mangsa.

"Mahkamah tidak dapat memaafkan kesalahan tertuduh dan berharap perkara yang dilakukan tertuduh tidak dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini," katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman penjara dan sebat yang ringan kerana dia telah insaf dan menyesal dengan perbuatan yang dilakukan dan berjanji untuk menjadi orang yang baik.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi yang mengendalikan kes itu memohon hukuman yang berat kerana kejadian berlaku setiap hari sejak anak kandungnya datang ke Kuala Lumpur.

"Mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian tapi cita-citanya hancur disebabkan perbuatan tertuduh," katanya. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS