Pasukan Komunikasi Strategik BN sekali lagi menafikan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengenai kos projek Mass Rapid Transit (MRT) negara yang naik secara mendadak.
Dalam satu kenyataan malam semalam, pasukan tanpa nama itu memfokuskan terhadap dakwaan Rafizi pada Selasa lalu bahawa projek MRT1 sepanjang 51km dari Sungai Buloh ke Semantan disiapkan pada harga lebih dua kali ganda daripada projek sama di Sepanyol dan Korea Selatan.
“Adalah jelas bahawa kedua-dua projek MRT Seoul dan Barcelona dinyatakan Rafizi lebih mahal daripada projek MRT SBK bagi kos setiap km,” kata pasukan itu yang memetik data rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan dari Korea dan Sepanyol.
Sumber rasmi mereka, kata pasukan itu, tidak seperti Rafizi yang bersandarkan kepada maklumat salah di internet termasuk daripada satu blog Wordpress tidak sahih menggunakan nama ‘Pedestrian Observations’ untuk menyerang projek MRT.
Rafizi pada 27 Disember lalu berkata projek MRT bawah tanah antara bandar Barcelona Sants-La Sagrera sejauh 5.8 km yang siap pada 2011 menelan belanja AS$39 juta bagi setiap km manakala projek MRT Seoul Line 9 sejauh 27 km bernilai AS$43 juta setiap km.
Sebagai perbandingan, katanya, berdasarkan harga RM21 bilion, projek MRT1 sepanjang 51km itu akan menelan kos AS103 juta bagi setiap km, walaupun pada kadar pertukaran sebanyak RM4 berbanding satu dolar.
Pasukan BN bagaimanapun memetik data dari Institut Pembangunan Korea yang menunjukkan kos bagi projek itu adalah AS$5.7 bilion bagi 37.5km atau AS$152 juta bagi setiap km.
Ia juga menyatakan bahawa satu lagi sumber berwibawa iaitu Pihak Berkuasa Metropolitan Seoul menyatakan kos purata pembinaan bagi pelbagai laluan MRT yang dibina di pelbagai lokasi adalah AS$105 juta bagi setiap km.
“Sekali lagi, kami ingin tekankan di sini, jika Rafizi masih yakin dengan kos bagi projek MRT berkapisiti tinggi Seoul adalah AS$43 juta bagi setiap km, beliau seharusnya mempersoalkan kerajaan DAP Pulau Pinang mengapa projek LRT berkapisiti lebih rendah di atas muka bumi menelan belanja 50 peratus lebih tinggi iaitu pada US$64 juta bagi setiap km,” katanya.
Mengenai projek Barcelona Sants-La-Sagrera di Sepanyol, pasukan itu berkata kos AS$39 juta bagi setiap km yang disebut oleh Rafizi adalah hanya untuk pembinaan terowong sepanjang 5.8km tdan bukannya kos sistem MRT yang menyeluruh.
Menurut mereka, ini berdasarkan maklumat dari laman web rasmi Sepanyol.
“Adalah mengarut bagi seorang ahli parlimen untuk menggunakan kos pembinaan terowong sahaja untuk dibandingkan dengan satu projek MRT yang lengkap hanya untuk membuat tuduhan kononnya projek MRT SBK menelan belanja berganda.
“Kenapa mahu membandingkan sebuah terowong dengan sebuah projek MRT yang lengkap?
“Dan tidak masuk akal bagi seorang ahli parlimen untuk mempercayai yang Barcelona akan membina sistem MRT hanya untuk laluan 5.8 km sahaja!” kata pasukan itu.
Menurut mereka, keseluruhan projek Barcelona Metro Line sepanjang 48km itu siap pada tahun 2014 dengan jumlah kos sebanyak AS$7.9 bilion atau AS$64.5 juta setiap km.
