Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah rakyat Malaysia lemas di Australia tiba di tanah air

Jenazah rakyat Malaysia, Muhammad Farhan Na'imullah Zubir, 26, yang ditemukan lemas di Myrtleford, Melbourne, Australia pada 13 Disember lalu, tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Jenazah tiba menerusi penerbangan Thai Airways TG415 pada 11.55 pagi dan pengeluaran jenazah diuruskan bapa saudara, Osman Ahmad, 59, dan adiknya Muhd Faiz Farhan Zubir, 22.

Jenazah dibawa keluar dari Kompleks Kargo KLIA pada 1.55 tengah hari dan terus dibawa ke Johor Bahru, Johor untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff Johor Bahru.

Muhammad Farhan Na'imullah yang bekerja sebagai pengutip buah di Farm Buffalo Orchard sejak Januari lalu lemas ketika mandi di Sungai Ovens, berhampiran rumah sewanya pada 13 Disember.

Mayatnya ditemukan pasukan penyelamat Australia kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) pada hari kejadian selepas dihanyutkan arus.

Bekas pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah itu bekerja sementara sebagai pengutip buah sejak Januari lalu dan sepatutnya pulang semula ke tanah air awal tahun depan untuk melangsungkan perkahwinan selepas bertunang dengan rakan sekolejnya pada September lalu.

Sementara itu, kakak arwah, Nurdiyana Zubir, 29, mewakili keluarga
mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi sumbangan untuk membawa pulang jenazah adiknya ke tanah air. -Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS