Pertembungan dan krisis adalah sunnah alam yang dijadikan atas sebab musabab melalui ketetapan Allah SWT. Ia sebagai ujian kepada manusia, ketahanan diri dan membawa perubahan mengikut prinsip sebab musabab tersebut. Allah berfirman yang bermaksud:
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al Hajj 22:40)
Memang betul, kenyataan bahawa sesuatu krisis akan berlalu dengan jalan penyelesaian di penghujungnya, namun hakikat sesuatu krisis akan berlarutan dalam jangka pendek atau panjang tidak ada sesiapa yang boleh memberi jaminan. Pemikiran simplistik yang mengandaikan penyelesaian hitam putih adalah sesuatu yang tidak realistik dan satu kesilapan besar.
Dalam memahami sesuatu krisis atau konflik peperangan, tidak dapat dinafikan juga bahawa dalam proses tersebut, mereka yang tidak berdosa akan menjadi korban keadaan dengan meninggalkan bekas berpanjangan dalam daerah konflik yang penuh dengan darah dan airmata serta kehancuran infrastruktur dan maknawi yang memakan generasi untuk pulih.
Premis Memahami Isu Syria
Saya memilih untuk membuat analisa perang Syria dalam kerangka yang lebih besar yang mana kerangka ini merupakan titik tengah yang bakal menentukan natijah yang diinginkan (desired outcome) oleh pemain-pemain besar dunia. Makar atau perancangan jahat ini berskala besar lagi menggerunkan. Dalam hal ini Al Quran menyebut tentang perancangan yang mahu menghancurkan gunung sebagai gambaran betapa besarnya sesuatu perancangan yang dibuat:
“…walaupun besarnya perancangan mereka untuk menghancurkan gunung sekalipun…” (Ibrahim: 46)
Segala fenomena perang yang menyinggung sentimen atas premis keganasan sekta (mazhab) Sunni lwn Syiah dalam tanggapan majoriti umat Islam adalah sebahagian daripada alat propaganda yang digunakan untuk mencapai ‘desired outcome’ yang lebih merbahaya kepada warga dunia. Ini bukan bermakna kita bersetuju keganasan sekta dibiarkan berlaku tetapi fokus kita harus juga menghentikan kerangka besar yang sedang menentukan pemetaan baru Timur Tengah sebagai motif utama konflik di mana pada penghujungnya natijah perancangan akan berkhidmat untuk kehendak dan kepentingan perebutan kuasa besar dunia secara khususnya Russia, Amerika Syarikat dan China.
Kerangka Besar Perancangan
Yang dimaksudkan dengan kerangka besar konflik di Syria, sebenarnya adalah dasar Amerika yang menggagaskan pemetaan baru dunia (re-mapping of the world) sejurus berakhirnya era perang dingin dengan Soviet Union pada 26 Disember 1991. Kebangkitan negara-negara baru dalam Soviet Union yang majoritinya Muslim membuka satu ancaman dan peluang (threat and opportunity) kepada Amerika Syarikat. Keperluan strategi di Asia Tengah didesak atas kepentingan negara-negara ini punya potensi sumber tenaga daripada telaga gas dan minyak yang banyak seperti di Kazakhastan, Turkimenestan dan Uzbekistan di mana dianggarkan 405 trillion cubic minyak menunggu untuk digali dan eksplorasi.
Keperluan strategik Amerika di Asia Tengah turut mengambil kira persaingan dengan Russia dan China yang mempunyai sejarah ideologi dan politik dengan wilayah tersebut. Sentimen berkiblatkan kepada ideologi komunis di negara-negara tersebut memberikan kelebihan kepada China dan Rusia dan kerana itu Amerika harus bijak mencatur dan merancang strategi. Laluan bekalan bukan senjata ke Afghanistan dari Eropah juga melalui wilayah ini manakala Afghanistan diperlukan sebagai laluan minyak darat yang akan dipam dari negara-negara C5 iaitu Tajiskistan, Turkeministan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgystan yang kaya gas asli dan minyak.
Asia Tengah Sebagai Timur Tengah Baru
Dasar Amerika di Asia Tengah akan membantu pemetaan baru dunia di mana gagasan Timur Tengah Raya atau The Greater Middle East dengan memasukkan negara C5 sebagai perluasan dari wilayah Timur Tengah yang sedia ada hari ini termasuk Afghanistan dan Pakistan. Negara-negara Timur Tengah yang sedia ada hari ini ialah negara Telok, Semenanjung Tanah Arab, dan negara Syam (Syria dan Lebanon), Iran dan negara Afrika Utara yang berbahasa Arab. Kecuali Iran yang berbahasa Parsi kesemua negara-negara Timur Tengah berbahasa Arab.
Sejak penglibatan Amerika di Timur Tengah iaitu pembebasan tebusan di Lebanon dan Iran awal 80an, ide keperluan Greater Middle East - Timur Tengah Raya mula dicetuskan dan hanya setelah kejatuhan Soviet keperluan ini didoktrinkan. Penjajahan Afghanistan 2001, Iraq 2003, Peperangan Syria 2012 serta kejatuhan Presiden Morsi 2013 adalah rentetan kepada menundukkan keadaan mengikut natijah yang dirancang dari agenda Timur Tengah Raya atau ‘War on The Greater Middle East’.
Pemetaan Baru
Pendekatan Amerika terhadap regim yang dirasakan tidak banyak membantu kerangka besar ini ialah melalui ‘regime change’. Kaedah ‘regim change’ atau perubahan regim di kawasan terlibat ialah dengan cara halus iaitu meletakkan kelompok yang mesra Amerika menjadi kerajaan melalui pertolongan dengan kaedah demokrasi biasa. Satu lagi kaedah ialah dengan melakukan huru-hara sehingga pemberontakan berlaku dan mereka yang akan pegang kuasa ialah kelompok yang akan memenuhi kepentingan strategik Amerika. Kaedah yang lebih ganas lagi ialah menyerang secara ketenteraan samada secara proksi atau langsung untuk membawa ‘misi kebebasan’ (seperti perang Syria) atau atas alasan rejim sedia ada mengancam keselamatan Amerika dan rantau (seperti di Afghanistan) dan juga kerana menyembunyikan senjata kemusnahan besar-besaran (WMD) seperti alasan pelanggaran ke atas Iraq tempoh hari.
Selain alasan keselamatan, Amerika juga membawa misi-misi nilai seperti kebebasan, membawa demokrasi dan kemanusiaan ke atas negara-negara yang mereka ingin kuasai.
Sekurangnya secara zahir ‘niat’ Amerika secara propaganda dilihat murni dan mendapat sokongan rakyat yang kebetulan muak dengan kediktatoran pemimpin mereka seperti di Mesir, Libya dan kini Syria.
Pemetaan baru boleh bermakna beberapa perkara, pertama ialah perubahan rejim, kedua ialah membesarkan wilayah daripada asalnya seperti Timur Tengah dan ketiga ialah membentuk negara baru atau wilayah autonomi baru dalam sesebuah negara asal seperti wilayah autonomi Kurdi di Iraq. Konsep pemetaan baru ini ialah bagi memudahkan kawalan Amerika ke atas sumber dan laluan yang akan memberikan ‘nyawa’ kepada kewujudan kuasa Amerika.
Russia dan China tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini dan mereka mahu memastikan Amerika tidak membolot semua akses dan laluan minyak ini. Mereka juga merancangkan perkara yang sama sehingga Timur Tengah menjadi medan perebutan melalui peperangan proksi.
Dasar Perlindungan Israel
Satu dasar yang kekal berfungsi tanpa perubahan selama ini ialah dasar perlindungan ke atas kewujudan dan keberlangsungan negara Israel. Dasar Amerika di Timur Tengah senantiasa memastikan Israel sebagai pengimbang kepada negara-negara Arab di sekelilingnya. Amerika memastikan keperluan ketenteraan Israel dengan senjata tercanggih dibekalkan atas alasan ancaman keselamatan. Sebelumnya Soviet Union membekalkan senjata kepada negara Arab seperti Syria dan Mesir dalam peperangan Arab-Israel 1967. Israel menjadi medan perlumbaan senjata antara Rusia dan Amerika di Timur Tengah dan keadaan itu berkekalan sehingga hari ini dengan Israel menjadi epik krisis.
Dasar perlindungan ke atas Israel kekal malah ianya diperkukuhkan dengan perkembangan baru di rantau Timur Tengah iaitu kemunculan Republik Islam Iran 1979 dengan kejatuhan Shah Iran yang merupakan sekutu paling rapat Amerika, Begitu juga kemenangan Mujahidin ke atas Russia pada awal 80-an dan kebangkitan ancaman ‘pengganas Islam’ selepas penguasaan Taliban dan kemaraan Hamas di Palestine sebagai alternatif kepada Fatah yang dinaungi PLO dan kebangkitan Hizbollah di Lebanon. Kesemua perkembangan baru ini yang di luar kawalan Amerika memperkukuhkan lagi keperluan melindungi Israel dan usaha membuat ‘regime change.’
Global War on Terrorism (GWoT)
Istilah ini diungkapkan oleh George Bush (Jr) pada awal tahun 2000 dalam kempen Amerika terhadap serangan 9/11 di mana pengganas telah membawa peperangan ke dalam bumi Amerika. Fasa dasar Amerika di Timur Tengah mengambil bentuk yang lebih tegas dengan menjadikan campur tangan ketenteraan sebagai satu pilihan yang tidak dapat dielakkan.
Afghanistan dituduh sebagai sarang terorrisme kerana melindungi Osama Ben Laden yang didakwa bertanggungjawab pada serangan 9/11. Pada tahun 2001, Amerika menyerang Afghanistan atas serangan balasan ke atas pelanggaran World Trade Center New York dan menjejaki Osama Ben Laden dan Al Qaeda.
Tahun 2003 Iraq diserang atas alasan Saddam Hussein menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran yang menjejaskan keselamatan rantau Timur Tengah (walaupun hingga kini tidak ditemui dakwaan wujudnya senjata tersebut). Ia diikuti dengan penjajahan baru atas nama ‘operation freedom’ bagi menumbangkan diktator Saddam Hussein dan menggantikan dengan kerajaan baru yang akan mengamalkan demokrasi (ironinya Iraq menjadi medan perbalahan puak berdarah hingga sekarang).
Perjuangan membebaskan penjajahan baru dikaburi dengan kegiatan keganasan dan aktiviti pengganas termasuk Hamas yang hakikatnya adalah pejuang membebaskan tanahair daripada penjajahan Israel begitu juga Hezbollah yang memperjuangkan kebebasan sebahagian bumi Lebanon yang dijajah Israel. ISIL, ISIS, IS atau Daesh muncul dalam scenario memerangi pengganas dan seterusnya melebarkan daerah peperangan ke wilayah Syam iaitu Lebanon dan Syria selain di Iraq.
Amerika juga melihat proksinya seperti Hosni Mubarak di Mesir tidak diperlukan lagi kerana rekod pencabulan hak asasinya yang tidak dapat dipertahankan lagi dan kerana itu mengharapkan ‘regime change’ melalui demokrasi, namun apa yang berlaku ialah kemenangan besar kelompok Islam dan kemenangan Morsi sebagai Presiden baru Mesir yang diundi secara demokrasi. Perkembangan ini tidak disenangi kerana kepentingan strategik Israel terjejas dan kerana itu, akhirnya Presiden Morsi digulingkan untuk pemerintahan diktator tentera yang baru iaitu As Sisi yang dilihat lebih mudah dikawal untuk kepentingan strategik Amerika dan kewujudan Israel. Kebangkitan rakyat yang mendapat jolokan Arab Spring dapat memenuhi kehendak kerangka besar kuasa besar dengan syarat regim baru perlu pro Amerika diungkap dalam kata-kata ‘pilihanraya bebas’ ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi manusia.’
Syria Dan Kepentingan Iran Serta Turki
Syria termasuk dalam kerangka besar ini atas beberapa keperluan strategik. Pertama - Bashar dilihat pro Russia dan jarak dekat Syria dengan Israel pasti menjejaskan kepentingan Israel.
Kedua - kebangkitan rakyat jika Bashar digulingkan belum tentu diganti oleh pemimpin yang pro Amerika dan ketiga pejuang-pejuang Daesh dari Iraq yang menguasai sebahagian wilayah Iraq mengisytiharkan ‘Islamic State’ di wilayah Syam iaitu Lebanon dan Syria.
Amerika perlu mempunyai strategi untuk mengimbangi kepentingan Russia di sana dengan membantu kelompok pejuang anti-Bashar supaya menjadi kuat. Ia adalah perang proksi sebenarnya antara kepentingan Amerika dan Rusia di Syria khususnya dan Timur Tengah amnya.
Iran mempunyai kepentingan di Syria atas dua sebab, pertama, melalui Hezbollah yang berkiblatkan kepada kepimpinan Iran dan kedua sebagai benteng pertahanan dari Israel yang merupakan musuh ketatnya. Syria selama ini adalah syurga bagi perjuangan anti-Israel termasuk Hamas dan pejuang Hezbollah. Iran merasakan Bashar perlu dikekalkan atas kepentingan ini dan sebab itu bantuan ketenteraan ke atas regim Bashar diteruskan bagi mengekalkan Bashar di pesada kuasa. Bashar menjadi Presiden yang lemah dengan menyerah kepada kuasa Rusia untuk terus bertahan dan seterusnya menafikan suara rakyat menamatkan kediktatorannya selama ini.
Turki pula berkepentingan dalam krisis Syria kerana beberapa sebab, Turki khuatir pejuang-pejuang Daesh dan lain-lain di Syria akan melarikan diri ke Turki melalui sempadan Syria-Turki. Kedua, pejuang Daesh dan lain-lain yang melarikan diri berpotensi bergabung dengan Parti Pekerja Kurdis yang menjalankan operasi sabotaj di Turki dan ketiga Turki menerima bilangan pelarian Syria yang paling ramai. Sikap Turki akhir-akhir ini yang dilihat lebih mesra Rusia berbanding Amerika dan sekutunya disebabkan kekecewaan Turki kepada sikap Amerika dan sekutu Eropah yang dilihat menyokong kudeta yang gagal tempoh hari. Turki juga mungkin boleh menjadi pendesak kepada keperluan strategik Amerika dan Rusia di Syria.
Saudi Dan Negara Telok
Saudi dan negara-negara Telok yang lain merupakan sekutu Amerika sejak 80-an dan ketika Perang Iran-Iraq berlaku, Saudi konsisten melahirkan kebimbangannya terhadap pengaruh Syiah dari Revolusi Islam itu. Saddam dalam peperangan tersebut mendapat sokongan padu daripada Saudi dan negara-negara Telok. Permusuhan Saudi dan Negara Telok dengan Iran berterusan sehinga hari ini atas beberapa sebab. Pertama negara seperti Bahrain, Oman, Emirates dan Qatar memiliki bilangan penganut Syiah ramai yang dikenali sebagai Ibadhiy, malah Bahrain mempunyai penduduk majoritinya adalah Syiah. Begitu juga Yemen daripada kelompok Zaidiyah.
Kedua, Saudi khususnya menganggap dirinya sebagai pembela Ahli Sunnah dan bertanggungjawab berhadapan dengan negara Iran yang menganut mazhab Syiah.
Pertembungan ‘big brother’ dari kedua sekta terbesar Islam ini menyumbang kepada hubungan tegang Iran dan Saudi. Iran pula menganggap hubungan akrab Saudi dan Amerika serta bekalan senjata yang senantiasa meningkat ke Arab Saudi dan negara Telok adalah ancaman kepada kewujudannya dan sebab itu hubungan kedua negara adalah senantiasa atas prejudis keselamatan bukan sahaja prejudis sekta atau mazhab.
Semasa negara Arab di benua Afrika Utara bangkit menjatuhkan pemimpin diktator mereka, Saudi dan negara Telok terasa bahang kebangkitan rakyat dan bimbang kepada kedudukan sistem Raja Mutlak yang mereka pertahankan. Saudi, Qatar dan lain-lain memberi amaran kepada rakyatnya malah mengenakan tindakan keras kepada pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin yang selama ini mendapat perlindungan mereka kerana takut unsur hasutan menentang kerajaan di negara mereka.
Sebagai rekod walaupun Amerika mempunyai piawaian hak asasi manusia dan demokrasi yang tinggi sebagai syarat hubungan, namun Saudi dan negara-negara Telok mencatat rekod terburuk piawaian hak asasi dan demokrasi disebalik hubungan akrab dengan Amerika.
Seperti Mesir, Amerika melihat hubungan dengan Saudi dan negara Telok dalam jangka masa panjang tidak produktif dari sudut piawaian demokrasi dan hak asasi manusia. Amerika sedang meneroka potensi minyak di Asia Tengah dari negara C5 dan telahpun mendapat sebahagian segmen besar untuk carigali minyak dan gas, maka Saudi dan negara Telok mungkin akan ditentukan nasibnya oleh masalah dalaman yang sedang membengkak dan tidak lagi menjadi ‘favorite boy’ Amerika. Malah ada penganalisis yang mengandaikan Amerika akan berbaik dengan Iran dan sebagai tanda awal, boikot ke atas Iran telahpun ditarik balik. Iran mempunyai simpanan minyak yang banyak dan kini boleh menjualnya di pasaran bebas.
Keganasan Sekta (Mazhab)
Ramai yang mengandai pertembungan Sunni-Syiah melatari segala konflik di Timur Tengah dan secara khususnya di Syria. Hakikatnya keganasan sekta atau ‘sectarian violence’ hanyalah alat propaganda yang digunakan dalam menentukan strategi geo-politik kuasa besar. Apa yang dilihat sebagai keganasan mazhab itu adalah kesan perang yang melibatkan kematian orang awam dan kanak-kanak dalam konflik peperangan bukan satu yang sengaja dibuat didorong atas kebencian mazhab antara Sunni dan Syiah. Tidak dinafikan sentimen ini digunakan tetapi untuk mengatakan ianya peperangan Sunni dan Syiah semata-mata adalah satu rumusan yang terlalu simplistik.
Syria majoritinya adalah Sunni walaupun Bashar dikaitkan dengan Alawiyin, cabang dari Syiah tetapi hakikatnya Alawiyin dianggap Syiah yang sesat. Pembunuhan ke atas penduduk awam sendiri adalah atas asas mahu menakutkan kebangkitan rakyat supaya dia terus kekal berkuasa dan bukan kerana dorongan mahu membunuh orang Sunni. Saddam Hussein satu ketika dahulu di Iraq melakukan perkara yang sama ke atas rakyatnya bukan kerana mereka Syiah yang merupakan majoriti di Iraq tetapi kerana tindakan terdesak mempertahankan kuasa dan memberi amaran kepada penentangnya.
Ini bukan bermakna kita boleh mengizinkan pembunuhan, membunuh rakyat untuk menutupkan suara mereka adalah tindakan jenayah yang wajib dikutuk sekerasnya rentas Sunni dan Syiah. Bahayanya analisis silap kepada kes Syria yang hanya berasaskan peperangan mazhab akan memburukkan hubungan mazhab di luar zon konflik dan akan mendorong kebencian sesama umat Islam yang berbeza mazhab antara Sunni dan Syiah.
Kedua-dua mazhab di luar konflik Syria harus mengutuk pembunuhan di mana sahaja tanpa mengira latarbelakang mazhab malah agama sekalipun. Propaganda media pula berkehendakkan persepsi awam terbentuk atas asas ini dan kita lupa kepada kerangka besar yang hakikatnya adalah penyebab utama segala kehancuran dan sebab utama tercetusnya peperangan ini.
[Baca Siri 2 esok]
DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara, Ahli Parlimen Malaysia dan Ahli Eksekutif Kesatuan Parlimen Negara-Negara Islam (PUIC).
Artikel ini diolah berdasarkan buku terbaru beliau; Islam Bukan Agama Teroris: Islamfobia, Pertembungan Budaya dan Perang Global Terhadap Keganasan terbitan ILHAM Books.