Anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua tahun lalu, sedang mengeledah pantai Afrika timur untuk mencari bukti yang mungkin dapat membantu merungkai misteri mengenai nasib mereka.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, yang membawa kepada pencarian di Lautan Hindi yang telah melepas hari ke-1,000 Sabtu lepas.
Keluarga penumpang pesawat yang hilang itu tidak puas hati dan marah kerana kurangnya kemajuan yang dicapai daripada siasatan rasmi.
Sekumpulan mereka - warga Malaysia, China dan Perancis - tiba di Madagascar hujung minggu lalu dengan harapan untuk mencari serpihan serta dan meningkatkan kesedaran terhadap pesawat yang hilang itu di kalangan penduduk tempatan dan organisasi.
Semalam Jiang Hui, seorang lelaki warga Chna yang mana ibunya adalah penumpang MH370, menemui papan kecil di dalam pasir di Pantai Riake, Madagascar yang diharapnya mungkin serpihan dari dalam kabin pesawat yang hilang.
"Saya berasa teruja tetapi pada masa yang sama ia menyedihkan," katanya. "Ia adalah sebahagian kecil dan tidak akan dapat menunjukkan apa yang berlaku kepada pesawat itu tetapi saya amat berharap pihak berkuasa Malaysia, China dan Australia akan cuba untuk mencari lebih banyak lagi."
Grace Nathan, seorang jurucakap bagi Member of Voice 370, sebuah kumpulan sokongan keluarga MH370, menulis di Facebook mengenai penemuan Jiang itu: "Saat emosional bagi kita semua: Kesedihan, kesakitan, kekeliruan, keterujaan, harapan".
Sesetengah anggota keluarga penumpang menuduh penyiasat yang diterajui Malaysia memberi terlalu banyak tumpuan mencari pesawat itu di pencarian laut dalam di luar pantai Australia, dan merayu kepada penduduk di pantai timur Afrika untuk mencari serpihan pesawat dan menyerahkan apa sahaja yang mereka jumpa kepada pihak berkuasa.
Setakat ini, tiga keping serpihan yang ditemui di pantai Mauritius, Tanzania dan pulau Reunion, Perancis, telah disahkan dari pesawat MH370. Penyiasat sedang memeriksa beberapa serpihan lain yang dijumpai di Mozambique dan Afrika Selatan. [Baca berita penuh]
- Reuters