Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah AS tolak permohonan keluarga Jho Low tangguh kes 1MDB
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 9:05 AM
Dikemaskini: 1:47 AM

Keluarga hartawan Malaysia yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, gagal dalam usaha mereka untuk menuntut aset yang disita oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) apabila seorang hakim persekutuan AS menolak usul yang boleh memberi mereka masa untuk mencuba nasib di mahkamah di luar negara.

Awal minggu ini empat anggota keluarga Low Taek Jho memfailkan usul untuk menangguhkan pendengaran pada 12 Disember kepada 23 Januari untuk membolehkan mereka ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman untuk mencuba dan mendapatkan hartanah dan aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baru.

Dalam keputusannya, Hakim Daerah AS Dale Fischer menolak kedua-dua usul untuk menangguhkan pendengaran itu dan satu permintaan yang berasingan untuk melanjutkan tarikh akhir untuk memfailkan tuntutan. Tiada sebab diberikan dalam kenyataan yang difailkan bertarikh Rabu.

Pendakwa raya persekutuan yang membantah penangguhan pendengaran tersebut, menegaskan bahawa sudah hampir lima bulan berlalu sejak Jabatan Kehakiman memfailkan saman sivil mendakwa lebih AS$3.5 bilion telah disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Low Taek Jho adalah antara individu yang dinamakan dalam saman sivil itu yang bertujuan untuk merampas aset bernilai AS$1bilion yang didakwa dari dana yang diselewengkan dari 1MDB dan dialihkan kepada hartanah mewah di New York, Beverly Hills dan London, lukisan berharga dan sebuah jet peribadi.

Keluarga Low Taek Jho itu mahu ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman, dengan harapan ia boleh menimbang permohonan mereka. Keputusan untuk meneruskan perbicaraan pada hari Isnin boleh menggagalkan rancangan itu.

Peguam mereka, Daniel Zaheer daripada Kobre & Kim, tidak memberi respons segera terhadap perrmintaan untuk mendapatkan komen.

Selain Low, Jabatan Kehakiman telah menamakan Riza Aziz dalam saman sivil itu. Aziz adalah anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Najib, dan merupakan pengasas Red Granite Pictures, yang mengeluarkan filem blockbuster Hollywood 2013 'The Wolf of Wall Street'.

Saman itu tidak menamakan Najib, tetapi mendakwa lebih daripada AS$700 juta dana yang didakwa disalahgunakan, disalurkan ke dalam akaun "Malaysian Official 1".

Najib telah menafikan sebarang salah laku dan berkata Malaysia akan bekerjasama dalam siasatan antarabangsa. [Baca berita penuh]

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS