Enam pemimpin Umno, termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi ini.
Upacara dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S A Vigneswaran.
Khairul yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan (Master of Management) pada tahun 2007 dari Open University Malaysia (OUM).
Selain itu beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1999 dari Cardiff University of Wales.
Turut mengangkat sumpah ialah Ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Rabiyah Ali, Setiausaha Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat, Ketua Umno Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Penolong Setiausaha Puteri Umno, Datuk Fahariyah Md Nordin dan Pengerusi Kluster Pendidikan Umno Johor, Rahemah Idris.
Pelantikan mereka bagi tempoh tiga tahun.
Dalam ucapan aluannya, Vigneswaran berharap mereka yang dilantik dapat menunjukkan perangai, perwatakan, keperibadian tinggi dan bersopan-santun semasa menyertai sesi persidangan Dewan Negara.
"Sekarang ini saya risau kerana terdapat segelintir Yang Berhormat yang tidak menghormati kemuliaan Parlimen dan melanggar peraturan mesyuarat serta perlembagaan negara.
"Saya memperingati diri saya dan menarik perhatian semua Yang Berhormat supaya memahami segala peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negara dan peraturan-peraturan mesyuarat (Dewan Negara)," katanya.