Walaupun menjadi tokoh utama dalam negara dan meninggalkan kesan besar di peringkat antarabangsa, kerajaan menetapkan tiada jalan di Cuba akan dinamakan sempena Fidel Castro.
Alasannya, kerajaan mahu mengelakkan wujud sikap mengagung-agungkan tokoh negara.
Lebih daripada itu, keputusan kerajaan itu dibuat atas kehendak Castro sendiri.
Menyatakan ketetapan itu Presiden Cuba Raul Castro berkata abangnya itu tidak mahu wujud amalan memperbesar-besarkan personaliti negara di kalangan rakyatnya.
"Parlimen Cuba akan meluluskan rang undang-undang berkaitan ini pada sidang akan datang.
"Semasa hayatnya Castro berpesan, apabila beliau meninggal dunia, tiada sebarang jalan, institusi, taman atau kemudahan awam boleh dikaitkan dengan namanya," kata Raul di Santiago hari ini.
Kata Raul, 85, walaupun Castro berwasiat begitu mana-mana bangunan, patung, gambar atau apa saja binaan yang dibina semasa hayatnya tidak akan diroboh atau dimusnahkan.
Castro, 90, menghembus nafas terakhirnya di Havana pada 25 November lalu selepas mengalami keuzuran tidak lama sesudah meletak jawatan sebagai presiden pada 2006.
Punca kematian Castro tidak didedahkan oleh kerajaan.
Nama Castro sangat sinonim dengan gerakan revolusi serta pernah bersahabat dengan tokoh penting fahaman Marxists, Che Guevara.
Selain itu Castro juga dikenang sebagai tokoh yang berani melawan dominasi dan tekanan Rumah Putih walaupun kedudukan Cuba begitu hampir dengan wilayah AS.
Debu daripada mayat Castro yang dibakar disemadikan di Santiago - bandar yang menjadi tempat permulaan revolusi Cuba dilancarkannya lebih 50 tahun lalu.
Upacara itu dijalankan dengan iringan 21 das tembakan anggota tentera.
Ia sepatutnya disiarkan secara langsung di televisyen namun dibatalkan pada saat-saat akhir dan ia diumumkan sebagai upacara tertutup.
Di sebalik larangan itu sebenarnya imej Che Guevara adalah sesuatu yang lazim di Cuba walaupun selepas beberapa dekad dia meninggal dunia.
Havana mengumumkan perkabungan sembilan hari sempena kematian Castro dan ia berakhir hari ini.
Upacara hari ini turut dihadiri beberapa pemimpin Amerika Latin, iaitu Evo Morales (Bolivia), Daniel Ortega (Nicaragua), dan Nicolas Maduro (Venezuela).
Dua bekas presiden Brazil, Dilma Rousseff dan Lula da Silva, turut mendapat penghormatan sama.