Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Wala' ahli Umno tak berbelah bagi kepada presiden
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 7:35 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Wala' dan kesetiaan anggota Umno yang tidak berbelah bahagi terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib dengan ikhlas, tegas naib presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Wala' ertinya taat ... Kita sebagai perwakilan bukan sahaja di dewan (Pusat Dagangan Dunia Putra), di luar dewan, di kampung, wala' kita tidak berbelah bahagi, wala' kita wala' yang ikhlas," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada di perhimpunan agung Umno 2016, yang melabuhkan tirainya hari ini.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, berkata Najib sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Presiden kita berbuat baik bukan hanya pada kita orang Islam, Umno, Melayu tetapi beliau berbuat baik kepada semua kerana beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat di Malaysia," kata Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana Menteri.

Menyentuh solidariti saf kepimpinan parti, Ahmad Zahid mahu supaya tidak ada lagi mana-mana pihak yang melaga-lagakan beliau dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Lupakan hasrat itu... saya dan Hishammuddin 'dua beradik.' Dulu kami 'tiga beradik.' Jangan laga-lagakan 'dua beradik' ini kerana kami sentiasa sokong perdana menteri," katanya.

Ahmad Zahid turut menyampaikan seloka yang antara lain meminta anggota parti memperkasa jentera pilihan raya untuk memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai hadiah kepada presiden.

"Kita rasa gendang hampir dipalu. Saya nyatakan tidak lama, dah dekat... kita serah kepada presiden untuk menentukan (PRU14) dan kita akan sentiasa bersiap siaga menggerakkan semua jentera pilihan raya," tegas beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid, yang mengulas prestasi anggota perwakilan ketiga-tiga sayap dan jurucakap negeri sepanjang perhimpunan itu, berkata berdasarkan pemerhatiannya, kesemua mereka telah menunjukkan kematangan dalam perbahasan masing-masing.

"Perwakilan kian bijak menegur, semakin matang mengkritik penuh santun dan berhemah, mengutamakan ketatasusilaan berhujah, membidas dalam gurauan senda, mengutarakan pandangan yang hebat dan luar biasa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS