ULASAN Pilihan raya umum yang akan datang bakal menyaksikan pertarungan sengit antara Umno dan pembangkang.
Umno yang akan menggunakan senjata perkauman bagi mewujudkan ketakutan di kalangan pengundi manakala pembangkang dengan tema ‘harapan baru’ untuk masa hadapan negara, mewakili aspirasi 99 peratus rakyat terbanyak di Malaysia.
Mencermati intipati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, terdapat 3 tema yang diketengahkan:
• Pertama, wala’ (kesetiaan) kepada presiden Umno dan perdana menteri adalah perkara terpenting mengatasi segalanya. Dengan erti kata lain, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal adalah pengkhianat parti.
• Kedua, pilihan raya umum akan datang adalah tentang membuat pilihan antara kerajaan yang bakal diterajui oleh Umno atau DAP. Dalam hal ini, Umno akan bermati-matian menentang DAP bagi mempertahankan orang Melayu.
• Ketiga, PAS adalah rakan Umno.
Skrip ini tidaklah terlalu sukar difahami. Najib menyemai rasa takut di kalangan rakyat terhadap DAP dan bukan Melayu untuk menyeru ahli-ahli Umno berjuang bersama beliau sepertimana ungkapan yang dilaungkan dalam PAU; “Kami berjanji akan berjuang bermati-matian hingga ke titisan darah yang terakhir, biarpun nyawa kami ditukar ganti!”
4 ISU KRITIKAL
Namun, Najib terus mengelak dari menyentuh empat isu kritikal sedang melanda negara dan menjerut rakyat: GST, 1MDB, kejatuhan nilai matawang ringgit dan peningkatan kos sara hidup.
Apabila pendapatan rakyat tidak meningkat, GST akan memberi kesan terhadap pendapatan bolehguna mereka. Skandal 1MDB pula menghakis keyakinan luar terhadap ekonomi Malaysia dan institusi-institusinya, bahkan turut memberi kesan terhadap nilai tukaran matawang. Peningkatan kos sara hidup pula antaranya berpunca dari penarikan subsidi, kejatuhan ringgit dan perlaksanaan cukai GST.
Apabila pendapatan bolehguna rakyat menguncup, keyakinan mereka untuk berbelanja turut sama menguncup. Ini memberi kesan negatif kepada perniagaan/bisnes. Sekiranya keadaan ini berlarutan, tidak mustahil Malaysia bakal berhadapan krisis lebih parah yang sukar dipulihkan lagi.
Rakyat Malaysia terbanyak - iaitu kelompok 99 peratus - adalah kelompok yang bakal menerima kesan langsung dari kelemahan urustadbir ekonomi dan pentadbiran negara pimpinan Perdana Menteri Najib. Pun begitu, beliau hingga kini masih terus membisu. Lebih dari itu, beliau memainkan sentimen perkauman sempit sebagai senjata bagi mengekalkan survival kuasanya.
Kita tidak perlu terkejut, bahkan kita mesti bersiap sedia dengan kemungkinan lebih buruk lagi. Agenda perkauman sempit ini bakal dimainkan oleh kerajaan Najib menuju hari-hari mendatang menjelang pilihan raya.
Kepada seluruh rakyat yang tidak mahu Malaysia terus dicengkam oleh kleptokrat Najib, termasuklah ahli-ahli Umno yang tidak bersetuju dengan Najib, kita perlu bergerak dari sekarang untuk memastikan pilihan raya yang akan datang adalah bebas dari muslihat agenda perkauman sempit ini.
Pilihan raya umum ke-14 bukan perlawanan untuk memilih kerajaan yang bakal diterajui Umno atau DAP, jauh sekali perlawanan antara Melayu dan Cina tetapi perlawanan sebenar adalah antara minoriti 1 peratus Najib dan kroninya dengan 99 peratus rakyat Malaysia yang mengimpikan masa hadapan negara yang lebih cerah.
Demi menyelamatkan negara, demi generasi masa hadapan, demi melawan ketakutan untuk Malaysia yang lebih gagah, tiada pilihan lain melainkan kita - kelompok 99 peratus - perlu bangkit segera!
LIEW CHIN TONG adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang.