Paling Popular
Terkini

ULASAN Langkah yang lebih berani perlu diambil bagi terus membantu nasib malang yang menimpa masyarakat etnik Rohingya serta masyarakat minoriti yang lain di negara Myanmar.

Antara langkah berani yang boleh diambil khususnya oleh masyarakat antarabangsa dalam menghadapi isu berkenaan ialah dengan menubuhkan satu tribunal atau mahkamah khas peringkat antarabangsa bagi menyiasat segala bentuk penindasan dan kezaliman yang menimpa kaum minoriti di negara berkenaan khususnya masyarakat etnik Rohingya.

Semenjak akhir-akhir ini, kita telah didedahkan dengan pelbagai cerita mengenai kezaliman dan kesengsaraan yang menimpa kaum minoriti di negara berkenaan daripada pihak tentera serta kumpulan agama yang fanatik.

Apa yang lebih lebih menyedihkan lagi, tiada tindakan yang jelas diambil oleh kerajaan Myanmar bagi menghentikan isu berkenaan. Pemenang Nobel Keamanan Dunia tahun 1991, Aung San Suu Kyi juga dilaporkan tidak membuat apa-apa atau mengeluarkan sebarang kenyataan menentang segala bentuk penindasan yang telah dilakukan terhadap golongan minoriti terbabit.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya badan antarabangsa khususnya pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan tribunal atau mahkamah khas bagi meyiasat segala bentuk kezaliman dan penindasan yang menimpa etnik Rohingya serta etnik minoriti yang lain di negara Myanmar.

Artikel 1 Piagam PBB jelas menyatakan bahawa penubuhan PPB adalah untuk menjamin keselamatan serta menjaga keamanan dunia.

Berpandukan matlamat utama inilah, maka satu usaha perlu digerakkan oleh pertubuhan berkenaan untuk membantu etnik Rohingya serta masyarakat minoriti yang lain di negara Myanmar yang kini sedang bergelut dengan cabaran dan dugaan yang besar dari kerajaan dan tentera mereka sendiri.

Usaha penubuhan tribunal atau mahkahmah khas ini bukan satu usaha yang baru dilaksanakan di mana lebih 20 tahun yang lalu, tribunal yang sama juga telah diwujudkan bagi menyiasat tragedi kemanusiaan yang berlaku di bekas negara Yugolsavia serta pembunuhan beramai-ramai di Rwanda.

Perlu diketahui umum bahawa masalah yang menimpa etnik Rohingnya serta etnik minoriti yang lain di negara berkenaan bukanlah satu isu yang baru.

Mengikut rekod kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, nasib buruk yang menimpa etnik terbabit telah berlaku semenjak zaman pemerintahan junta tentera sekitar tahun 1970-an, malah ada yang menyatakan bahawa nasib buruk yang menimpa mereka berlaku sebelum itu lagi.

Jika benar ianya berlaku semenjak sekian lama, adalah menjadi kekuatiran semua pihak bahawa nasib yang menimpa etnik minoriti berkenaan boleh menjadi satu isu kemanusiaan yang besar serta memerlukan campur tangan asing dengan segera.

Pihak PBB perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu terbabit serta mengerakkan usaha bagi menubuhkan satu tribunal atau mahkamah khas bagi menyiasat segala jenayah yang berlaku serta membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan selaras dengan peruntukkan kuasa penubuhan entiti siasatan berkenaan seperti yang telah termaktub dibawah Artikel 41 Piagam PBB.

Penubuhan tribunal atau mahkamah khas perlu dianggap penting kerana ia dapat membuka mata dunia terhadap nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya serta etnik minoriti yang lain serta memberi peringatan kepada semua negara untuk tidak melakukan atau mengambil sebarang tindakan di luar batas kemanusiaan ke atas mana-mana golongan.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pesyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS