Sudah jatuh ditimpa tangga, nasib malang melanda Westports Malaysia Dragons kecundang sebanyak 18 mata kepada seteru lamanya, Singapore Slingers, 80-62. Kedua-dua pasukan ini mengharungi persaingan akhir musim lalu untuk kejuaraan Asean Basketball League (ABL).
Kali ini, Slingers kembali dengan barisan pemain yang hampir sama untuk 'membalas dendam' terhadap pasukan Malaysia itu.
Walaupun Slingers dan Dragons berasak untuk menyaingi dalam separuh masa pertama, barisan pertahanan pasukan Malaysia mula luntur dan tidak mampu mengatasi dominasi Slingers saat bermulanya suku ketiga.
Dragons hanya mampu menjaringkan 9 mata berbanding 23 mata oleh Slingers. Kedua-dua pasukan terikat pada 32 mata di akhir separuh masa, namun strategi pertahanan dan serangan Dragons nampaknya mudah ditembusi oleh pihak lawan.
Masuk suku keempat perlawanan, Dragons tidak lagi mampu memecahkan dominasi Slingers dalam gelanggang, terutamanya Justin Howard dan Xavier Alexander yang masing-masing menyumbang 22 dan 20 mata. Pemain tempatannya yang hanya berusia 20 tahun, Leon Kwek pula menjaringkan 20 mata, juga dalam perlawanan pembukaan ini.
Freddie Goldstein dan Marcus Melvin dari Dragons pula mendapat 22 dan 15 mata, manakala Kuek Tian Yuan merekodkan 10 mata.
Bercakap kepada Malaysiakini selepas tamatnya perlawanan, ketua jurulatih Malaysia Dragons, Christopher Thomas akur bahawa punca utama kekalahan kali ini adalah disebabkan oleh kelemahan pertahanan dalam separuh masa kedua.
"Para pemain mengikut strategi yang telah diaturkan untuk mengatasi Slingers dalam separuh masa yang pertama. Cara inilah yang mereka patut amalkan untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih dinamik.
"Namun begitu, sistem pertahanan Dragons menjadi lumpuh apabila masuk suku ketiga dan kami tidak mampu memberi 'reaksi' yang sepatutnya. Ini bagaikan ditumbuk di mulut tetapi dibiarkan begitu sahaja," ujar Thomas.
Thomas juga menyifatkan kekalahan ini bukanlah penghujung buat Malaysia Dragons.
"(Kekalahan) Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan bukannya sesuatu yang dapat dipelajari semalaman sahaja. Para pemain harus mengharungi setiap cabaran dan pengalaman untuk melihat prestasi diri yang lebih baik," beliau berkata.
Dragons memulakan perlawanan pembukaan musim baru ABL kali ini dengan barisan pemain yang baru dan hanya enam pemain tempatannya kembali dalam senarai.
Bekas ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia kini berkhidmat sebagai ketua jurulatih Phoenix Fuel Masters dalam liga bola keranjang Filipina, manakala pemain import musim lalu seperti Calvin Godfrey, Reginald Johnson, Matthew Wright dan Jason Brickman, masing-masing meneruskan karier mereka dalam liga-liga negara lain.
Malaysia Dragons akan bertemu Saigon Heat di Vietnam dalam perlawanan seterusnya pada 17 Disember nanti.
Antara pasukan-pasukan yang turut serta dalam musim ABL ini termasuk Alab Pilipinas (Filipina), Hong Kong Eastern Long Lions (Hong Kong) dan Kaohsiung Truth (Taiwan).