LAPORAN AUDIT l Perjanjian lumayan RM507.77 juta oleh Kementerian Pengangkutan kepada sebuah syarikat pengorekan yang tidak berpengalaman menjadi siasatan Ketua Audit Negara.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2), Kementerian Pengangkutan pada tahun 2001 menerima 15 tawaran bagi kontrak untuk menjalankan kerja pengorekan di pelabuhan-pelabuhan di negara ini.
Walau bagaimanapun, semua tender dibatalkan dan kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat baru Malaysian Maritime and Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC). Syarikat ini ditubuhkan pada bulan Jun 2002.
"Menteri kewangan ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) memutuskan bahawa MMDC diberikan kontrak bagi kerja-kerja pengorekan di muara sungai di seluruh negara, dengan tempoh konsesi 15 tahun.
"Siasatan juga mendedahkan bahawa pada 10 Ogos 2002, Kementerian Kewangan memutuskan bahawa semua tender pengorekan sebelum itu dibatalkan dan kerja-kerja diberikan kepada MMDC.
"Bagaimanapun, pemeriksaan oleh Jabatan Audit tidak mendedahkan sebarang dokumen berkaitan dengan perbincangan, penilaian atau kajian mengenai keputusan di peringkat Kementerian Pengangkutan," petik laporan itu.
Pada tahun 2003, kata Ketua Audit Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan perjanjian konsesi, yang bakal menjadikannya satu projek penswastaan tertakluk kepada kelulusan kabinet.
"Tetapi pada 25 Jun 2003, Kementerian Kewangan memaklumkan (kepada EPU) bahawa kontrak yang ditawarkan kepada MMDC itu adalah kontrak jangka panjang dan bukannya konsesi penswastaan.
"Oleh itu, satu perjanjian hak eksklusif perlu ditandatangani antara Kementerian Pengangkutan dan MMDC," petik laporan audit.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan pada 8 Julai 2003, memaklumkan kepada EPU bahawa ia tidak berhasrat untuk menyediakan kertas kerja mengenai perkara berkenaan dan mendapatkan kelulusan kabinet.
"Pada 22 Ogos 2005, Kementerian Kewangan bersetuju bahawa MMDC akan diberikan kontrak jangka panjang, bagi tempoh 15 tahun, dengan syarat Kementerian Pengangkutan mendapatkan kelulusan daripada kabinet.
"Siasatan mendedahkan bahawa tidak ada bukti bahawa Kementerian Pengangkutan telah mendapatkan kelulusan Kabinet, seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kewangan," petik laporan audit.
Kontrak itu ditandatangani antara MMDC dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada bulan Oktober 2005. Pada masa itu, Mahathir telah bersara dan Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah menteri kewangan dan juga perdana menteri.
Laporan itu menyebut bahawa kerja-kerja pengorekan yang dijalankan oleh MMDC pada umumnya adalah memuaskan walaupun terdapat ruang untuk penambahbaikan.