Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengumumkan akan meletakkan 50 calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang akan turut bertanding menamakan kumpulan itu sebagai “Calon Barisan Bebas PERKASA”.

Jelasnya, mereka tidak akan menggunakan platform parti politik sebaliknya hanya bergerak sebagai NGO kerana mahu bertindak di luar radar politik tempatan.

“Kemungkinan PERKASA akan bariskan sekumpulan calon bebas yang dinamakan sebagai calon bebas PERKASA yang akan bertanding dalam PRU14.

“Tumpuan kawasan kita adalah majoriti Melayu yang akan ditandingi oleh BN, PAS dan Pakatan Harapan. Kita akan masuk kawasan itu. Kita percaya kawasan Melayu yang menang tidak akan jejaskan orang Melayu,” katanya.

Ibrahim berkata demikian kepada para pemberita semasa sidang media Persidangan Agung Tahunan Ke-7 PERKASA 2016 di Stadium Mini Titiwangsa, hari ini.

Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas sebelum ini mengumumkan akan bertanding pada PRU14.

Sambil mengibaratkan dirinya seperti ‘janda seksi’ berikutan beberapa parti politik sudah ‘melamarnya’ untuk bertanding melalui tiket parti masing-masing, tambahnya, tumpuan beliau sekarang adalah kepada PERKASA.

MP tanpa bayang-bayang parti

Ujar Ibrahim lagi, kini adalah masanya untuk memberikan pelbagai calon alternatif kepada rakyat untuk mengundi.

Katanya, sekiranya calon dari PERKASA memenangi PRU14, mereka akan membahaskan isu mengenai rakyat di Dewan Rakyat tanpa dibayangi parti politik.

“Calon bebas itu baik untuk jadi ahli Parlimen dan tidak terikat mana-mana parti.

“Pasal sistem di Malaysia ini, dia bergantung kepada parti menang. Jika jadi MP tak kira parti Umno, DAP, PAS kamu tak bebas.

“Ia bagus, ahli parlimen boleh bercakap dengan bebas. Kerana bila jadi MP tak kira Umno, DAP, PAS kamu tak free cakap semua benda,” katanya.

Katanya, calon-calon tersebut telah pun dikenal pasti dan di antara mereka sangat berkelayakan menjadi pemimpin rakyat.

Jelasnya, idea bagi bertanding itu dibuat selepas pihaknya didesak untuk menjadi parti politik.

“40 peratus minta kita jadi parti politik. Tapi kita tolak, sebab kita nak teruskan jadi NGO. Kita lihat parti politik hari ini, mereka berpakat dengan pelbagai kumpulan yang tidak kena dengan selera kita,” katanya.

Sementara itu Ibrahim ketika ditanya adakah menyalahi syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk bertanding memandangkan PERKASA adalah sebuah NGO berkata:

“Mana langgar (syarat). Kita bertanding Bebas dan bukannya sebagai PERKASA kerana PERKASA adalah NGO.

“Jadi barisan calon kita dari NGO PERKASA. Prinsipnya calon bebas tapi guna simbol yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya pilih satu simbol,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS