Paling Popular
Terkini

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ANIH Berhad menafikan berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir
lumpur di Kilometer 171 LPT1 menghala ke Kuantan dekat Maran petang semalam.

ANIH Berhad dalam kenyataan media semalam berkata sebaliknya kejadian pada pukul 3.40 petang itu hanyalah limpahan air dari bukit akibat hujan lebat pada waktu itu.

"Panjang jalan yang terlibat adalah 30x10 meter termasuk bahu jalan dan kedalaman air pada waktu itu adalah 0.1 meter sahaja.

"Air yang berwarna coklat seperti yang tersebar dalam gambar di media sosial itu bukan disebabkan lumpur tetapi hanyalah keladak. Tidak lama selepas itu air limpahan telah bertukar jernih," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu ANIH meminta pengguna LPT agar tidak risau kerana lebuhraya itu boleh dilalui seperti biasa setelah air surut dan setelah selesai kerja-kerja pembersihan dilakukan pada 4.38 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran DSP Mat Rizal Mat Radzi berkata kejadian limpahan air di lebuh raya berkenaan tidak serius dan tidak menyebabkan gangguan lalu lintas.

"Laluan itu boleh dilalui seperti biasa," katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS