Penyandang Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, akan didakwa ke mahkamah sebagai penista agama ekoran kenyataannya yang memetik surah Al-Maidah semasa bertemu pengundi di Kepulauan Seribu di Jakarta dua bulan lepas.
Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian memberitahu pemberita di Jakarta hari ini, pasukan khas siasatan dianggotai 27 orang termasuk ulama, pakar bahasa dan pakar psikologi, mendapati Ahok dituduh menistakan agama Islam.
Terdapat perbezaan pendapat antara ahli bahasa dan tokoh agama tetapi majoriti anggota pasukan penyiasat berpendapat Ahok harus didakwa atas kenyataannya yang menyentuh tafsiran Al-Quran itu, katanya yang dipetik oleh media-media dalam talian.
Ahok akan mempertahankannya jawatannya sebagai Gabenor Jakarta pada Pilihan raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari 2017 dan dicabar oleh dua calon iaitu Anies Bsawedan dan Agus Harimurti Yudhoyono.
Dalam ucapannya di Kepulauan Seribu itu, Ahok didakwa meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan ayat 51 surah Al-Maidah dalam Al-Quran yang menyebut umat Islam dilarang memilih orang bukan Islam menjadi pemimpin mereka.
Kenyataan Ahok itu telah mencetus kemarahan umat Islam di Indonesia dan ratusan ribu umat Islam menganjurkan demonstrasi membantah Ahok di ibu kota Jakarta pada 4 Nov lepas.
Tito berkata Ahok akan didakwa di bawah Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik dan kesnya akan berlangsung di mahkamah secara terbuka.
Undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun dan denda Rp1 miliar (kira-kira RM300,000).
Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Jakarta, Sumarno pula berkata status Ahok sebagai tertuduh tidak menjejaskan haknya untuk bertanding dalam Pilkada sehingga jika beliau didapati bersalah.
Katanya Ahok masih bebas untuk berkempen dan dalam masa yang sama beliau harus hadir ke mahkamah bagi menjalani proses perbicaraan.
Ahok pula dalam reaksinya dipetik sebagai berkata beliau akan menghadapi tuduhan itu dan yakin dirinya tidak bersalah kerana telah difitnah.
"Saya akan membela diri di mahkamah dan akan menghadapi sebarang tuduhan, saya tidak bersalah, saya tiada langsung bermaksud untuk menista agama," katanya.
- Bernama