Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) “merayu” polis mengharamkan perhimpunan BERSIH dan Baju Merah, Sabtu depan.
Sekutu PAS dalam gabungan pembangkang Gagasan Sejahtera itu berkata mereka bimbang “berlaku pertumpahan darah dan rusuhan besar-besaran” jika ia berterusan, lapor Harakahdaily.
"Saya sendiri pernah mengambil bahagian di dalam dua siri BERSIH yang diadakan pada tahun-tahun dahulu, dalam setiap demonstrasi tersebut memang terdapat perancangan rapi oleh kumpulan dalaman untuk memprovokasi polis dan pihak-pihak lain sehingga menimbulkan rusuhan besar-besaran dengan tujuan menarik perhatian dunia dan mendapat publisiti luar negara yang meluas,"
Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dipetik sebagai berkata.
Akhbar web PAS itu juga melaporkan Kadir sebagai berkata “insiden dan provokasi” seseorang yang menumbuk ketua Baju Merah Datuk Jamal Yunos sehingga berdarah sudah tentu akan menimbulkan kemarahan amat sangat penyokongnya.
"Sudah tentu mereka akan juga akan membuat apa sahaja untuk menyekat demonstrasi BERSIH dan pertembungan tersebut sudah tentu akan mengakibatkan rusuhan dan pertumpahan darah yang seharusnya tidak boleh dibenarkan berlaku pada ketika ini," tambah beliau kepada Harakahdaily.
Kadir, bekas menteri Umno, berkata Malaysia tidak mampu menghadapi rusuhan lebih-lebih lagi jika berunsur perkauman yang akan menakutkan pelabur luar.
Kadir juga percaya pihak polis berkemampuan untuk mengambil tindakan tegas, berani dan serta merta untuk menyekat keadaan buruk ini dari berlaku.
"Polis masih mempunyai lima hari untuk membuat sesuatu demi keamanan dan kesejahteraan negara dan juga bagi membela kerukunan hidup rakyat Malaysia yang begitu baik selama ini,” beliau dipetik sebagai berkata.
"Kami merayu agar demonstrasi kedua-dua pihak itu diharamkan serta merta dan jangan kita menyesal kemudian hari.”
Beliau juga menasihatkan agar BERSIH dan Baju Merah membuat permohonan baru dan meneruskan demonstrasi di tempat lebih selamat seperti Padang Merbok yang mudah dikawal pihak berkuasa dan tidak membahayakan rakyat serta harta awam.