Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang terkenal dengan mulut lantang dan sikap keras terhadap pengedar dadah, dilapor akan melawat Malaysia minggu ini.
Beliau antaranya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Lawatan Duterte dilihat akan membuka lembaran baharu terhadap usaha Malaysia untuk terus membantu dalam penyelesaian masalah di Mindanao serta masalah kebanjiran rakyat Filipina di Sabah dan isu-isu keselamatan berkaitan.
Peranan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam masalah Selatan Filipina, khususnya di Mindanao penting kerana apa yang diusahakan fasilitator Malaysia telah diterima oleh kepimpinan Filipina yang lalu namun belum dapat dilaksanakan secara konklusif.
"Jadi lawatan Presiden Duterte ke Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Khamis ini akan merupakan suatu usaha yang dibuat bagi menentukan bahawa Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro atau BTC
akan dapat dilaksanakan," beliau dipetik sebagai berkata kepada wartawan Malaysia oleh Bernama di London.
Zahid yang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom mulai Isnin, berkata Malaysia yang diwakili oleh Najib dan beliau sendiri selaku menteri pertahanan sebelum ini, telah menyaksikan penandatanganan Rang Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL).
"Dalam lawatan kali ini, kita melihat prospek amat cerah bagi Malaysia terus memainkan peranan ini dan kita merasakan tentunya pihak Filipina di bawah kepimpinan baru ini akan lebih terbuka untuk melibatkan juga beberapa pihak lain di Filipina," beliau dipetik sebagai berkata.
Zahid juga berharap perjanjian antara Filipina dengan Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Murad Ebrahim kali ini akan melibatkan pihak lain termasuk kumpulan minoriti di selatan Filipina bagi menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat Filipina tanpa dokumen, di Sabah.
Beliau juga berpandangan bahawa kemakmuran di kawasan selatan Filipina boleh menyelesaikan isu politik dan isu sosioekonomi di kawasan berkenaan dan di Sabah.
Duterte mencuri perhatian dunia dengan tindakan keras terhadap pengedar dadah apabila membenarkan pihak berkuasa menembak mati pengedar dadah di negara itu.
Walaupun Filipina dilihat rapat dengan Amerika Syarikat, Duterte pada September lalu mengejutkan banyak pihak apabila menggelar Presiden Barack Obama sebagai “anak perempuan jalang”.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan AS membangkitkan isu hak asasi manusia susulan tindakan keras pada pengedar dadah itu.