Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menafikan pihaknya menerima sebarang geran daripada Open Society Funds (OSF) yang ditubuhkan oleh jutawan Amerika Syarikat (AS) George Soros, lapor Borneo Post.
Bagaimanapun, Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suardi mendakwa para penyelidik atau pensyarah universiti itu mungkin menerima dana melalui 'saluran tidak rasmi' tanpa pengetahuan pihak pengurusan universiti.
"Setakat yang saya tahu, Unimas tidak menerima apa-apa pemberian atau bantuan kewangan daripada OSF. Kami tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan OSF," beliau dipetik sebagai berkata.
Kadim ditanya mengenai kandungan laporan OSF 2014 yang menyebut Unimas sebagai salah sebuah organisasi penerima dana.
"Ia mungkin diberikan dalam bentuk geran swasta untuk pensyarah atau penyelidik dengan universiti tidak tahu-menahu mengenainya.
"Dalam apa jua dana yang diterima, kami akan tentukan punca dan tujuannya. Kami periksa segala-galanya -. Kita tidak terima sebarangan tawaran dana atau geran," katanya.
Tambah Kadim, beliau tidak menolak mungkin sebahagian pensyarah terlibat dalam aktiviti luar universiti atau bekerja dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kami tidak memantau aktiviti pensyarah di luar universiti. Dalam keadaan biasa, kami tidak memeriksa mereka. Mereka adalah pensyarah - kita perlu percaya mereka," ujarnya.
"Mereka sepatutnya tahu semua peraturan dan bagaimana untuk bertindak," katanya sambil menambah bahawa para pensyarah adalah penjawat awam yang terikat dengan peraturan-peraturan tertentu.