Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah hari ini menyerah borang keahlian untuk menyertai PKR.
Katanya, penyertaannya itu bagi menebus segala kesalahan selain ingin membantu PKR dalam mengenal pasti ‘parasit’ yang kini berada di dalam parti itu.
“Bagi saya sama ada masuk parti PKR, DAP atau pembangkang tidak penting. Saya banyak kesalahan pada PKR, saya nak baiki ketelanjuran saya.
“Dalam masa yang sama saya juga ada kenal pasti beberapa parasit dalam tu yang pernah kerjasama dalam Umno,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.
Borang permohonan keahlian itu diserahkan kepada Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin.
Dalam sidang media yang sama, Zuraida berkata pihaknya mahu menggunakan kepakaran Ratu Naga dalam memanfaatkan media sosiak bagi kepentingan parti itu.
“Dengan kemasukan Syarul Ema, kepakaran beliau dalam menggunakan media sosial, saya akan manfaatkan wanita KEADILAN untuk menggunakan media sosial.
“Saya ingin beliau berperanan dalam mengangkat martabat wanita dan tambah kesedaran polisi, pergerakan wanita dan apa yang diperjuangkan wanita KEADILAN untuk wanita di negara ini,” katanya.
Nasihat jangan langgar peraturan
Selain itu Zuraida turut mengingatkan Ratu Naga supaya tidak melanggar peraturan parti serta menjatuhkan maruah orang lain.
“Saya nak nasihatkan beliau, dalam KEADILAN kita tak boleh mungkin melanggar peraturan parti, jatuhkan maruah orang, dan berintegriti.
“Saya harap dengan kedatangan beliau dapat memperkasakan sosial media ini selain angkat martabat wanita,” katanya.
Ratu Naga sebelum ini pernah menimbulkan kekecohan apabila menyiarkan bahan di media sosial yang didakwa mengandungi fitnah terhadap Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Rumahnya turut digeledah anggota polis dari Ibu Pejabat Bukit Aman dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan laporan polis terhadapnya.