ULASAN Mungkin Transformasi Nasional 2050 (T50) menjadi 'senjata paling ampuh' untuk meminggirkan 'Wawasan 2020’.
Legasi lama itu harus diganti dengan gagasan baru yang diharapkan dicapai pada 2050.
Visi T50 itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam pada ucapan Bajet 2017 yang dilihat sebagai serangan berani dan terbesar terhadap legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejauh ini.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menghapuskan legasi Dr Mahathir untuk menjadikan Umno kuat.
Najib semalam membuktikan bahawa cara paling baik menghapuskan legasi perdana menteri Malaysia 22 tahun itu ialah memperkenalkan gagasan baru.
Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau dan kepimpinannya merangka hala tuju negara berdasarkan visi baharu yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Bagi Najib, T50 adalah ‘azimat kerajaan dan rakyat’ untuk masa depan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui," tegas Najib.
Sebelum ini, rancangan pembangunan negara berdasarkan Wawasan 2020 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ada menyebut Wawasan 2020 diperkenalkan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 dan ada yang menyebutnya lahir hasil daripada kertas kerja bertajuk “Malaysia-Melangkah ke Hadapan” yang dibentangkan di Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.
Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan acuan tersendiri. Ia adalah kesinambungan daripada usaha pemimpin negara terdahulu bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju dalam segenap aspek kehidupan meliputi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Untuk yang mahu mengetahui dengan jelas dan mudah, baca dokumen ‘KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN JAYAKAN WAWASAN 2020’ oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia (Februari 2013) melalui carian di internet.
Selepas diragui wawasan itu akan mencapai sasarannya dengan pengenalan berbagai dasar baru sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diteruskan Najib sejak 2008, ia menjadi hambar.
Malah Dr Mahathir sendiri meragui untukm dicapai kerana pentabiran selepasnya dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’.
Dalam pembentangan Bajet 2017 di Parlimen semalam, Najib berkata, sejak 2010, Malaysia berada di atas landasan visi Dasar Transformasi Negara (DTN).
Tanpa menyebut sepatah pun perkataan Wawasan 2020, Najib mengatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak untuk generasi baharu berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun.
Kerana itu, TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama untuk proses dan gerak kerja.
Apakah dengan tidak menyebut Wawasan 2020 itu bermakna gagasan atau visi pembangunan sebelum ini, khususnya di era Dr Mahathir tidak membawa sebarang kemajuan kepada rakyat dan negara?
Apakah DEB yang dijadikan asas pembangunan sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran pada 1982 dengan berbagai dasar untuk bumiputera perlu dilupakan begitu sahaja?
Apakah Najib hanya melihat legasi bapanya tanpa menyebut legasi Tunku Abdul Rahman serta Tun Hussein Onn?
Kenapa melihat visi pembangunan DEB yang mempunyai dua matlamat – membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang diteruskan Dr Mahathir sehingga 1990-an sahaja, sedangkan negara mulai mengalami proses industrialisasi dan ekonomi berteraskan maklumat turut berkembang selepas Multimedia Super Corridor (MSC) diperkenalkan?
Memperkenalkan dasar atau visi baru oleh pemimpin adalah biasa dan mungkin perlu demi kekuatan dan survival politik dan negara di masa hadapan.
Tetapi tujuan menghapuskan legasi melalui pengenalan visi baru tanpa mengambil kira kebaikan dan sumbangan besar visi pemimpin sebelumnya tidak wajar sama sekali.
Apakah Dr Mahathir pernah cuba menghapuskan legasi pemimpin sebelumnya?
Najib dengan bangganya mengatakan: "Biarlah TN50 jadi saksi, kita adalah bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab mewariskan (masa depan) yang terbaik dan terhebat kepada generasi hari muka (akan datang).”
"Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun Razak rencanakan untuk menyediakan Generasi Baharu yang berjaya dalam tempoh 30 tahun, begitulah TN50 ini akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya, bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence," katanya.
Najib berkata TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.
"Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah tawarikh bahawa, Kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab, mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat, diperturunkan kepada generasi hari muka," katanya.
Sepatutnya dalam memperkenalkan visi baru, Najib atau Kerajaan BN bersikap ‘yang baik kena katakan baik’ dan jangan kerana marah dan dendam kita cuba pendam dan lupakan jasa dan visi sebelumnya.
Bukan mudah untuk menenggelamkan Wawasan 2020 kerana ia sudah terpahat sebagai sejarah.
Najib dan pemimpin Umno jangan bermain sentimen yang akan kelak menyebabkan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mempertikaikan kewibawaannya.
Generasi yang menduduki bangku sekolah dan universiti pada 1990-an dan awal tahun 2000 sudah kenal dengan visi berkenaan sama ada di sekolah atau universiti.
Memang ada kelemahan dan kekurangan tetapi lihat juga kepada sumbangan Wawasan 2020. Baca semula jika sudah lupa atau cuba melupakannya.
Soalan – bilakah Menteri Komunikasi dan Multimedia akan menghapuskan PERSPEKTIF WAWASAN 2020 daripada terus berada di laman web Jabatan Penerangan atau NITC agar rakyat tidak terus mengingatinya atau terus membiarkan ia menjadi legasi?
Menerusi pengumuman itu juga, kata Najib yang juga menteri kewangan, kerajaan akan melancarkan siri dialog nasional bagi menjelaskan wacana nasional baru itu.
Cuma yang aneh, kenapa visi ini dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui naungan beliau sendiri.
Visi yang besar seperti ini walaupun ditujukan kepada generasi muda sepatutnya membabitkan semua pihak – semua kementerian – kerana ia dasar dan wawasan negara.
Apakah KBS akan menjadi pusat pembentukan dasar dan pelaksana T50?
Dengan menjadikan kementerian dan menteri KBS begitu penting bagi T50 dengan dibantu oleh beliau memberikan suatu persepsi atau tanggapan baru bahawa sesiapa juga yang menggendalikan kementerian ini adalah orang kanan Perdana Menteri.
Apakah ini juga bermakna menteri ini dipersiapkan untuk menjadi pemimpin penting negara di masa hadapan?
HAMBALI ABDUL LATIFF adalah bekas pengarang akhbar dan kini menjadi perunding media bebas.