Di tengah-tengah kehangatan isu pretzel dog, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai menjauhi fitnah dalam isu persijilan halalnya.
Facebook bahagian hab halal badan itu hari ini menjelaskan mereka hanya mengeluarkan logo halal sahaja.
“Sehingga ke saat ini tiada logo atau pengesahan haram/tidak halal atau logo syubhah dikeluarkan.
“Jauhi fitnah, moga dirahmati Allah,” menurut tulisan ringkas di media sosial itu.
Saranan supaya Jakim memperkenalkan logo haram pernah muncul kira-kira enam tahun lalu yang dibuat oleh ketua Pemuda PAS ketika itu Nasrudin Hassan.
“Saya mengira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo haram untuk menjauhkan masyarakat umat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram,” katanya.
Gesaan pada Julai 2010 itu dibuat susulan lambakan produk haram yang membimbangkan.
Semalam, gesaan serupa dibangkitkan penyair popular dan lantang Pyanhabib Rahman di Facebook beliau.
“...satu dunia tahu Malaya negara Islam dan rakyatnya Muslim sejak azali dilarang mendekati-memakan benda-benda tidak halal maka apa barang kita kalut pasal sijil `halal'?
“Bukankah yang sepatut dan sebetulnya ialah sijil `haram'?” katanya.
“Contoh: kedai jual arak, kedai jual nombor ekor patut digantung tanda `haram' malah kalau si Asmawi jual kasut kulit katak atau si Rosly jual mi sup daging ular, gantung saja tanda 'haram' dengan logo Jakim di pintu masuk kedai.”