Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli 'Melayu jati', pertahan tanah kami – Dewi Malam

Dewi Malam salah seorang daripada 4,000 penduduk mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat yang kini tanahnya sedang dalam usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands oleh kerajaan Selangor.

Beliau, abangnya Jafrin dan bapa mereka Malam Gerchang kalah dalam kes di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bulan lalu selepas diputuskan tiada locus standi untuk mewakili masyarakat Temuan di situ.

Bagaimanapun, kira-kira tiga minggu berlalu, Dewi masih berharap 17,900 ekar tanah di kawasan itu, seperti dipohon dalam saman mereka, dapat diubah status kepada rizab Orang Asli.

Dewi berhujah, mempertahankan tanah mereka sama seperti mempertahankan tanah Orang Melayu kerana mereka sebenarnya “Melayu tulen” dan “Melayu jati” negara ini.

“Kalau moyang saya Sakai, Saya ini Sakai. (Orang) Asli itu Sakai, Asli itu Melayu, (kita) Melayu tulen, Melayu jati.

“Orang Malaysia tak faham, Orang Sakai itu Asli, orang sakai itu Melayu tetapi sekiranya tanah-tanah ini habis, orang Melayu sendiri yang akan rugi.

“Orang Asli rugi sebab dipinggirkan, tetapi yang meminggirkan adalah orang Melayu itu sendiri.

“Anak muda harus faham, kalau orang Melayu meminggirkan orang asli dia telah meminggirkan bangsa dia sendiri, asal dia sendiri,” katanya sedikit emosi.

Mahkamah simpati, tapi tak dapat buat apa

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara.

Ketiga-tiga pemohon hadir dalam sidang media hari ini bersama peguam mereka Serene Tan Pei Shan, aktivis Raymond Tan dan pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin.

Mahkamah Rayuan pada 27 September lalu memutuskan Malam, yang juga bekas tok batin suku Temuan, dan dua anaknya tidak mempunyai locus standi (hak undang-undang) untuk menyaman kerajaan Selangor dan empat pihak lagi bagi deklarasi untuk menuntut kembali tanah Orang Asli.

Berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, saman sivil Malam, 72, Dewi, 56, dan Jafrin, ditolak, lapor Mstar.

Hakim berkata walaupun bersimpati dengan mereka, mahkamah tidak boleh membuat keputusan memihak kepada mereka berdasarkan fakta dan keterangan kes.

Plaintif turut menamakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Pengarah Tanah dan Galian Selangor dan pihak berkuasa tempatan sebagai responden dalam kes itu.

Susur galur 7 keturunan

Dewi dalam sidang media hari ini meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan itu, malah membawa susur galur keturunannya bagi membuktikan dia layak dalam kes itu.

“Saya ada tujuh keturunan (di sini). Mohamad poyang saya, Pak Pelangi moyang saya, Gercang datuk saya, Malam ayah saya, saya Dewi Malam, dan anak saya.

“Sekarang saya ada cucu. Bermakna sudah ada tujuh generasi menjadi penghuni di sini,” katanya.

Dewi menentang pengubahan status tanah itu kerana didakwa menjejaskan hutan simpan Kuala Langat Utara, membabitkan Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS