Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakan barunya sekarang ini mahu melaksanakan undang-undang syariah. Mereka mahu setiap aktiviti dilaksanakan mengikuti kehendak syariah.

Dan mereka bekerja bersama-sama untuk memperkenalkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali mati!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menganjurkan “munajat” dan “solat hajat” di Kota Bharu untuk mendapatkan pertolongan Tuhan agar Rang Undang-undang itu diluluskan apabila dibentangkan nanti.

Saya tidak mempunyai masalah dengan undang-undang Allah. Semuanya sudah dinyatakan di dalam Al-Quran.

Masalah saya, dan mungkin masalah kepada orang lain juga, bagaimana hukum Allah mesti dilaksanakan oleh manusia; serta apakah jenis manusia yang menjadi pemimpin Islam yang sesuai melaksanakan hukum tersebut?

Adakah mereka yang mahu melaksanakan hukum itu benar-benar dikenali sebagai pemimpin sepertimana yang ditetapkan oleh Islam? Jawabnya, sama sekali tidak.

Pertama, kerana mereka sombong.

Apa-apa sahaja mengenai Islam seolah-olah hanya mereka yang tahu dan orang lain tidak berhak untuk mempersoalkan mereka.

Kafir jadi pejuang

Satu hari mereka berkata Umno kafir, maka kafirlah Umno. Hari ini mereka kata Umno pejuang Islam, maka pejuang Islam lah Umno.

Orang lain hanya perlu menerima dan akur dengan segala kata-kata dan tingkah laku mereka.

Mereka ini, sama ada pemimpin politik atau agama, adalah sama dengan Taliban. Mereka mahu kita semua untuk mengikut mereka tanpa soalan dan jika kita tidak bersikap demikian, maka kita dianggap sebagai umat Islam yang tidak baik.

Kemudian mereka juga menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi diri mereka daripada tuduhan jenayah. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri, sama ada dengan mencuri wang, balak atau hutan simpan.

Mereka juga akan menangkap dan mneghukum semua orang lain yang seperti saya, yang kerap mempersoalkan mengenai kelakuan mereka. Mereka akan menggunakan samseng untuk menghalang perhimpunan aman.

Adakah ciri-ciri sedemikian yang ditetapkan oleh Al-Quran bagi mereka yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin kepada rakyat?

Sudah tentu tidak, kerana Al Quran dan Nabi Muhammad SAW telah menyatakan dengan jelas bahawa pemimpin Islam mesti adil dan penyayang.

Pemimpin munafik

Mereka mesti hidup secara sederhana dan tidak mengenakan bayaran atau mahulan upahan untuk menyebarkan agama. Islam benci kepada pemimpin yang munafik.

Islam benci kepada pemimpin yang berpura-pura dan berdusta. Islam menuntut kejujuran dan integriti dari para pemimpinnya.

Hari ini kita mempunyai pemimpin yang korup dan tidak jujur dan mereka adalah orang-orang yang sekarang mahu memperkenalkan undang-undang hudud. Mereka tidak layak digelar sebagai pemimpin Islam dan sama sekali tidak sesuai untuk melaksanakan hudud.

Apabila Tun Mahathir tiba di lapangan terbang yang saya berharap kehadiran polis pengiring supaya tidak terperangkap dengan kesesakan lalu lintas, tetapi pihak atasan di Kuala Lumpur tidak membenarkan mana-mana polis untuk mengiringi beliau.

Beginikah cara kita menghargai bekas pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara?

Bagaikan tiada langsung penghargaan atau untuk memastikan keselamatan bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun kepada kita.

Hanya kebencian yang ditunjukkan semata-mata kerana beliau mengkritik perdana menteri. Inilah jenis pemimpin Islam yang kita ada.

Kemudian di Kota Bharu, saya sendiri berusaha mencari tempat di mana saya boleh mengadakan ceramah pada malam ini.

Saya diberitahu bahawa jika Datuk Husam Musa merupakan salah seorang penceramah yang dijemput, maka saya tidak dibenar untuk menggunakan mana-mana premis yang di bawah pentdabiran kerajaan negeri.

Hanya tangan kita dipotong

Kini terdapat satu pekeliling daripada kerajaan negeri yang melarang mana-mana pihak yang bekerja dengan kerajaan negeri atau di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri daripada membantu sesiapa yang ada kaitan dengan AMANAH.

Tetapi pekeliling tersebut tidak melarang orang yang sama daripada membantu PAS.

Inilah jenis “double standard” yang telah diterima-pakai dan mereka belajar teknik ini daripada Umno. Kedua-dua pihak ini adalah orang munafik

Oleh itu, Umno dan pemimpin PAS tidak layak untuk melaksanakan hudud atau meluluskan Rang Undang-Undang Akta 355 yang dibentangkan oleh Hadi di Parlimen. Mereka tidak mengerti untuk bersikap adil dan saksama.

Mereka adalah pemimpin sombong yang tidak boleh diharap oleh rakyat.

Jika kita membenarkan mereka untuk memotong tangan bagi kesalahan mencuri, hanya tangan orang orang kita yang akan dipotong, tetapi semua mereka akan terlepas. Kesalahan mencuri mereka akan mereka lindungi oleh Akta Rahsia Rasmi.

Jika mereka diberi kuasa melaksanakan hukuman rejam untuk kesalahan zina pula, hanya pesalah yang dalam pakatan pembangkang yang akan dihukum, sementera puak mereka sendiri akan sentiasa dilindungi kesalahannya.

Itulah sebabnya kita perlu menolak sebarang undang-undang yang mereka mahu luluskan kerana mereka tidak mungkin berlaku adil serta bukan juga pemimpin yang adil.


DATUK ZAID IBRAHIM adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Petikan ini adalah dari ucapan program “BN boleh ditewaskan” di Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad pada 14 Oktober 2016. Ia dimuatkan di blognya hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS