Peguam Siti Kassim mendakwa anggota Jabatan Perhutanan menghalangnya daripada menghantar makanan dan bekalan kepada anak guamnya di kawasan penempatan Orang Asli Pos Tohoi di Gua Musang, Kelantan, semalam.
Orang asli berkenaan sejak 26 September lalu membuat sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.
Siti berkata pihak berkuasa juga meletakkan papan tanda melarang semua pembekal dan peniaga daripada memasuki perkampungan di situ.
"Papan tanda (sekatan kemasukan ke atas pembekal) secara berkesan melarang kebanyakan, jika tidak semua masyarakat Orang Asli, daripada hidup di dalam hutan.
"Kamu nampak apa yang mereka cuba lakukan? Saya nampak," tulisnya di Facebook.
Menurut video yang disiarkan di laman Facebook Siti, anggota Jabatan Perhutanan melarangnya memasuki kawasan hutan simpan yang diwartakan berkenaan kerana tidak mempunyai permit.
Anggota berkenaan memetik Seksyen 47 (e) Akta Perhutanan 1948 yang menyatakan bahawa tidak dibenarkan memasuki hutan simpan kecuali mereka mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perhutanan dan memasuki atas sebab yang dinyatakan dalam permit.
Siti kemudiannya mempersoalkan mengapa mereka hanya menyekat laluan itu sekarang sedangkan pembalak telah menggunakan jalan itu tanpa larangan.
Beliau juga berkata dirinya dijemput oleh penduduk kampung, dan bahawa seorang peguam tidak boleh dihalang daripada berjumpa dengan anak guamnya.
"Penjara juga kawasan larangan, tetapi peguam berhak jumpa mereka (anak guam) di sana," katanya.
Anggota berkenaan kemudian memberitahunya ini adalah arahan yang mesti dipatuhi mereka dan menasihatkannya untuk mendapatkan permit masuk dari Jabatan Perhutanan negeri di Kota Baru.