Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Gara-gara menjual nasi lemak menggunakan nama ‘nasi lemak anak dara’, pemilik perniagaan itu Siti Hajjar Ahmad mengakui beberapa kali diganggu dengan panggilan lucah dari lelaki nakal.

Siti Hajjar yang baru memulakan perniagaan sejak sejak sebulan yang lalu, telah menerima enam panggilan termasuk gambar lucah.

“Saya ada dapat panggilan gangguan seksual, pada jam 2 pagi saya terima gambar lucah, saya terkejut, saya blok dia, saya off data, tutup telefon dan tidur.

“Saya dapat mesej pelik-pelik enam kali dari orang yang berbeza. Mereka dapat nombor saya kerana saya letak di Facebook nombor tu,” katanya kepada Malaysiakini.

Gerai nasi lemak anak dara milik Siti Hajjar sebelum ini mencuri tumpuan apabila menerima kunjungan dari Menteri Besar Selangor Datuk Azmin Ali bagi menyerahkan borang permohonan lesen perniagaan.

Kunjungan itu dibuat selepas Siti Hajjar dikompaun RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana berniaga tanpa lesen dan ia viral di sosial media.

Siti Hajjar berkata, nama nasi lemak anak dara itu dipilih memandangkan beliau masih bujang dan beliau belum pernah mendengar nama tersebut sebelum ini.

“Masa saya pilih nama tu, tak ada pun terfikir ada unsur seksual, saya perempuan bujang, contoh macam kat kampung orang panggil, eh dia tu anak dara makcik tu, jadi bagi saya nama anak dara tu normal.

“Saya tak kisah apa orang nak cakap mengenai nama itu, saya ambil positif. Saya tengok, bila guna nama tu perniagaan semakin maju,” katanya.

Siti Hajjar yang memiliki ijazah kejuruteraan elektronik perubatan daripada Universiti Tun Hussein mengakui sudah mempunyai kekasih hati.

Katanya, bakal suaminya itu adalah insan yang banyak membantu dan memberi inspirasi kepadanya dalam selok belok perniagaan.

“Saya dapat inspirasi dari bakal suami, dia banyak bantu dan ajar dalam perniagaan. Dia ajar saya kira berapa wang masuk dan keluar.

“Saya merancang mahu mendirikan rumah tangga tahun depan selepas enam tahun berkawan dengan bakal suami saya,” katanya sambil tersenyum.

Siti Hajjar ketika ditanya adakah akan tetap menggunakan nama nasi lemak anak dara selepas berumah tangga berkata:

“Ya, saya akan terus gunakan nama ini walaupun telah mendirikan rumah tangga, mungkin anak-anak saya boleh mewarisi nama dan resipi nasi lemak dari saya,” katanya yang menambah akan mendaftarkan nama syarikat itu tidak lama lagi.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS