[BAHAGIAN 1] Siapa sangka, pendapatan berniaga nasi lemak lebih tinggi berbanding menjadi jurutera.
Perkara itu dikongsikan oleh pemilik perniagaan nasi lemak anak dara, Siti Hajjar Ahmad yang memiliki ijazah kejuruteraan elektronik perubatan daripada Universiti Tun Hussein.
Siti Hajjar yang baru sahaja tamat pengajiannya Jun lalu pada awalnya memilih untuk menjual nasi lemak sementara menunggu ditawarkan pekerjaan.
Namun ternyata, pendapatan dari pekerjaan yang ditawarkan lebih kecil berbanding hasil dia berniaga di bawah flet di Shah Alam.
“Saya baru tamat pengajian pada bulan Jun kira-kira tiga bulan lalu, saya dapat lima kali panggilan temuduga di Jobstreet, saya diterima kerja pada awal September lalu.
“Pendapatan sekarang lebih berbaloi dengan apa yang ditawarkan di syarikat mereka, lebih-lebih lagi saya kurang minat sebab sibuk, kalau boleh nak ada masa,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini.
Beliau yang enggan memberitahu pendapatan bulanannya berkata, dia menjual dengan harga bermula RM1.50 bagi nasi lemak biasa dan RM3.50 untuk nasi lemak ayam berempah.
Manakala gaji dasar yang ditawarkan sebagai jurutera adalah RM2,000 yang baginya tidak berbaloi dengan penat yang dirasai.
Siti Hajjar yang bakal bergraduasi pada Sabtu ini mengakui pada awalnya ibunya tidak bersetuju dia berniaga nasi lemak memandangkan dia mempunyai pendidikan yang tinggi.
Namun selepas melihat usaha gigih anak gadis berusia 24 tahun itu, ibunya semakin boleh menerimanya.
“Mak tanya, kenapa nak berniaga nasi lemak. Pada hal belajar tinggi dapat kerja lagi senang (tapi saya kata), nak buat macam mana mak kalau kerja dengan orang, gaji cukup-cukup makan.
“Berniaga ni kita belajar banyak perkara, nak selesaikan sesuatu masalah dan ia buat kita lebih matang. Itu yang mak beri tempoh sampai tahun depan,” katanya.
Oleh kerana minat yang mendalamnya terhadap perniagaan, Siti Hajjar akan tetap meneruskan usahanya itu walau secara sambilan.
Siti Hajjar sebelum ini mencuri tumpuan apabila gerainya menerima kunjungan dari Menteri Besar Selangor Datuk Azmin Ali bagi menyerahkan borang permohonan lesen perniagaan.
Kunjungan itu dibuat selepas Siti Hajjar dikompaun RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan ia viral di media sosial.
Kata Siti Hajjar, selepas dikompaun, dia tidak putus asa berniaga dari rumah dan sanggup ulang alik bagi menghantar pesanan pelanggan.
“Saya Sembilan kali turun naik tangga untuk hantar pesanan pelanggan, mereka hubungi saya selepas dapat nombor telefon saya dari facebook.
“Dah dikompaun saya tetap teruskan berniaga dari rumah. Tak penat sebenarnya kerana apa yang saya lakukan kerana minat yang mendalam terhadap perniagaan ini,” katanya.