Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Loji rawatan air Semenyih ditutup lagi akibat pencemaran bau

Loji Rawatan Air Semenyih yang ditutup tiga hari baru-baru ini berikutan pencemaran di Sungai Semenyih terpaksa ditutup lagi mulai 10 pagi tadi berikutan masalah sama.

Susulan itu beberapa kawasan di Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air, sepertimana sewaktu penutupan pada 22 hingga 24 September lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong berkata pencemaran bau dikesan di Sungai Semenyih pada 11 malam tadi.

"Loji Rawatan Air Semenyih akan beroperasi semula apabila tiada pencemaran bau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elizabeth dalam pada itu berkata Kumpulan Air Selangor (Air Selangor), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengenal pasti punca pencemaran di tapak premis bersebelahan SR Building Materials Sdn Bhd di Batu 22 1/4, Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

Katanya, MPKj dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menutup tapak premis tersebut untuk memberhentikan sebarang aktiviti di sana dan untuk siasatan lanjut.

"Kes ini telah dirujuk kepada JAS untuk tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang. Di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika sabit kesalahan denda maksimum RM100,000 dan/atau lima tahun penjara akan dikenakan.

"Selain itu, bagi perniagaan atau premis yang disahkan mengakibatkan pencemaran, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membatalkan semua lesen dan hentikan semua operasi perniagaan. Tiada rayuan akan dipertimbangkan kerana kejadian tidak bertanggungjawab ini telah mengakibatkan kesusahan kepada lebih 1.8 juta pengguna di Selangor," katanya.

Tambah beliau, tindakan pantas petugas LUAS dan Air Selangor yang telah memantau kawasan itu 24 jam selama 10 hari akhirnya berjaya mengenal pasti punca pencemaran.

Elizabeth berkata, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit 'mySYABAS' dan www.syabas.com.my.

Sebelum ini, beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak 22 September lepas ekoran penutupan Loji Rawatan Air Semenyih akibat pencemaran sungai.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS