Undang Luak Johol ke-14 Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dipecat hari ini menghantar permohonan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menubuhkan Mahkamah Khas Raja-raja.
Orang Besar Balai Datuk Jenang Anuar Nordin yang mewakili Mohd Jan berkata, permohonan itu menuntut sebuah perbicaraan adil selepas mendakwa pemecatan itu tidak sah.
"Saya wakil Datuk Mohd Jan Abdul Ghani dengan ini menghantar (surat permohonan) kepada pejabat peguam negara untuk memohon menubuhkan Mahkamah Khas Raja-raja di bawah Perlembagaan Malaysia untuk membantah pemecatan (Mohd Jan) sebagai Undang Luak Johol ke-14 yang di buat Dewan Keadilan Negeri Sembilan," katanya.
Anuar berkata, permohonan penubuhan mahkamah khas tersebut dibuat bawah peruntukan perkara 183 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat permohonan tersebut sambil diiringi kira-kira 25 orang penyokong di lobi Jabatan Peguam Negara di Putrajaya hari ini.
Terima apa jua keputusan
Selain itu, ketika ditanya sama ada pemecatan Mohd Jan berikutan desas-desus yang mengatakan beliau berkelakuan tidak sopan, Anuar menafikan perkara itu.
"Rasanya ia banyak kepada fitnah. Lebih baik bicara di mahkamah. Senang untuk kita ketahui dan tahu lebih terperinci tentang apa perkara sebenarnya.
"Undang ini sama taraf dengan raja dan kes dia berhak dibicarakan di mahkamah raja. Sekarang ini dia dituduh dan tidak dibicarakan.
“Kita minta dia dibicarakan seadilnya dan apa juga keputusan mahkamah kita terima," katanya lagi.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Mohd Jan telah menghantar surat bantahan pemecatannya Mac lalu melalui peguam bagi mempertikaikan Laporan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Bernama pada 21 Mac melaporkan, Mohd Jan dilucutkan jawatannya sebagai Undang Luak Johol oleh Buapak Yang Enam di Balai Undang Luak Johol selepas didapati melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Kesemua 13 kesalahan itu didapati menghina pesaka dan adat Luak Johol di bawah kesalahan berat merujuk kepada buku Gemuk Berpupuk, Segar Bersiram yang diterbitkan pada 1996.
Justeru, Mohd Jan menganggap beliau dianiaya dan mendakwa pemecatannya dibuat tanpa mengikut prosedur.
Beliau juga mendakwa tiada surat rasmi dikeluarkan serta mendakwa tidak diputuskan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.