Paling Popular
Terkini

ULASAN Turki adalah sebahagian daripada Empayar Constantinople yang ditawan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453 yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fatih.

Sejak itu Turki berada bawah sistem monarki kerajaan Uthmaniyyah hingga digulingkan oleh Kamal Ataturk pada tahun 1923.

Banyak iktibar daripada penggulingan ini, antaranya selepas 500 tahun Sultan Muhammad al-Fatih 'mengislamkan' Turki daripada Kristian, sultan-sultan selepasnya yang memerintah Turki moden pada abad ke-19 sudah lupa kepada tanggungjawab.

Siapa Sultan Muhammad al-Fatih?

Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera."

Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fatih lebih kurang 800 tahun selepas itu.

Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.

Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan membebaskan Islam.

Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun.

Baginda bukan sahaja mengangkat martabat kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.

Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St Sophies yang dibina tahun 537 masihi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia.

Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.

Inilah ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang atau dijatuhkan waima melalui sistem demokrasi moden pada masa ini.

Bagaimanapun tidak semua pemimpin Islam mempunyai ciri-ciri Muhammad al-Fatih.

Saranan sekerat-sekerat

Kerana itu jangan keliru dengan saranan sesetengah alim ulama yang dipetik sekerat-sekerat oleh media bahawa pemimpin Islam tidak boleh ditentang atau diturunkan.

Media berkenaan tidak menyiarkan saranan penuh tentang ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang.

Media yang dikuasai oleh puak tertentu hanya memetik saranan yang selari kepada kepentingan mereka tetapi membuang bahagian-bahagian yang tidak menguntungkan mereka.

Alim ulama ini sudah menjadi mangsa demi kepentingan puak-puak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin Islam yang tidak mempunyai ciri-ciri Al Fateh.

Lihatlah, Kamal Ataturk pun pemimpin Islam Turki. Tetapi Kamal Ataturk seorang sekularis Islam yang merosakkan Islam di Turki. Islam di Turki mengalami kerosakan yang sangat parah.

Rasuah dan salah guna kuasa berleluasa dilakukan oleh pemimpin Islam di Turki dan juga di negara-negara lain yang berstatus negara Islam dan diterajui oleh Islam.

Tetapi tahap amanah mereka berada jauh bawah pemimpin negara-negara bukan Islam. Adakah pemimpin begini tidak boleh ditentang hanya kerana dia seorang Islam?


KU SEMAN KU HUSSAIN bekas editor kanan Utusan Malaysia. Tulisan ini dimuatkan kali pertama di blog beliau Kayangdailypost dengan tajuk asal “Ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS