Setiuasaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersumpah untuk berahsia apabila ditanya sama ada parti berkenaan ada membincangkan isu pindaan Akta 355 yang kontroversi itu.
Ditemui media di PWTC Kuala Lumpur hari ini Tengku Adnan bagaimanapun mengakui perkara itu ada dibangkitkan.
"Adalah (dibincangkan tentang pindaan Akta 355) tapi Wallahi, Wabillahi, Watallahi, (ia) rahsia," katanya.
Kalimah itu dianggap lafaz syarak untuk seseorang Muslim melafazkan sumpah untuk sesuatu perkara.
Akta 355 sedang cuba dipinda melalui usul persendirian dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa akan memperkasakan mahkamah syariah.
Bagaimanapun sesetengah pihak menganggap ia adalah pembuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang hudud, manakala kumpulan lain mempersoalkan kewajaran serta kesesuaiannya.
Parti komponen dalam BN adalah antara yang menolak cadangan berkenaan manakala Umno sendiri tidak memberikan pendirian yang jelas mengenainya.
Usul mengenai pindaan Akta 355 dijangka dibentangkan Hadi pada sidang parlimen Oktober ini.
Pada Mei lalu parlimen membenarkan usul meminda Akta 355 Mahkamah Syariah Kelantan dibacakan Hadi namun perbahasannya ditunda juga atas permohonan Hadi.
MCA ingatkan Umno
Sementara itu walaupun Tengku Adnan mengunci mulut, berlainan pula dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Kata Liow, MCA membangkitkan isu rang undang-undang persendirian yang dibawa Hadi dalam mesyuarat hari ini.
Katanya, perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN sebagai peringatan agar pihak kerajaan tidak mendahulukan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.
"Ia adalah rang undang-undang persendirian dan bukan rang undang-undang kerajaan. Dan rang undang-undang kerajaan sepatutnya diberi keutamaan," katanya.
Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi hari ini dilantik sebagai timbalan pengerusi BN yang baru.
Menteri Komunikasi dan Multmedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula dilantik sebagai bendahari BN menggantikan Datuk Seri Husni Hanadzlah yang melepaskan jawatan tersebut Julai lalu.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC di Kuala Lumpur hari ini. Najib adalah pengerusi BN ketika ini.
Pada majlis sama Najib turut mengumumkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai wakil Umno dalam BN.
"Hari ini mesyuarat memutuskan melantik Datuk Seri Zahid sebagai timbalan pengerusi BN yang baru selaras dengan fasal 8.3(b) Perlembagaan BN.
"Usul ini dicadangkan oleh MCA dan disokong oleh MIC dan telah diterima sebulat suara," katanya.