Kerajaan akan mencari kaedah untuk membantu pelajar Malaysia yang menghadapi masalah pembiayaan pengajian di Mesir, selepas
rombongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dihantar ke sana pulang ke tanah air.
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata rombongan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Kamel Mohamed ditugaskan untuk mengenal pasti masalah itu dan mengadakan perjumpaan dengan pihak terlibat termasuk wakil pelajar dan universiti.
"Kita nak lihat apa masalah sebenarnya dan kenal pasti berapa ramai pelajar di Mesir yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Rombongan khas ini dijangka pulang hari ini, dan kita akan putuskan dalam sehari dua ini bagaimana kita boleh cari kaedah atau cara untuk membantu menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Hab Media Kreatif & Teknologi (CMT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.
Turut hadir Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Media sebelum ini melaporkan 150 pelajar Malaysia di Mesir bakal berdepan penyingkiran ekoran kegagalan membayar hutang yuran pengajian yang mencecah hampir RM4.5 juta secara keseluruhan.
Mereka yang terbabit ialah pelajar jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang bergantung sepenuhnya dengan keluarga untuk membayar yuran pengajian dan sara hidup mereka.
Berhubung dakwaan terdapat ejen yang menjanjikan kepada pelajar terbabit tajaan daripada kerajaan, Idris berkata beliau turut maklum mengenai perkara itu.
"Memang saya dengar ada ejen yang berjanji kepada mereka (pelajar) akan dapat tajaan kerajaan, bagaimanapun saya akan nantikan keputusan atau rumusan yang dibawa balik rombongan khas ke Mesir.
"Kita nak lihat fakta dahulu dan kena lihat apa kesalahan ejen sebelum boleh buat sebarang tindakan lanjut mengikut saluran perundangan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai CMT, Idris berkata hab itu yang ditubuhkan di UiTM dan beberapa Universiti Awam (UA) tempatan pada tahun lepas merupakan hasil penyatuan fakulti-fakulti daripada bidang Sains dan Teknologi serta Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Beliau berkata Hab CMT UiTM seperti contoh mengoptimumkan kepakaran 11 fakulti iaitu Seni Lukis dan Seni Reka; Filem, Teater & Animasi; Komunikasi dan Pengajian Media; Muzik; Pengurusan Perniagaan; Pendidikan; Pengurusan Hotel & Pelancongan; Pengurusan Maklumat; Senibina, Perancangan & Ukur; Kejuruteraan Elektrik dan Sains Komputer & Matematik.
"Saya lihat Hab CMT UiTM telah menunjukkan perkembangan positif walaupun baru beroperasi setahun. Di tambah pula dengan visi UiTM untuk meletakkan Hab CMT di tangga ke-10 dunia menjelang 2025.
"Kita nak galakkan pendidikan yang fleksibel di UA melalui Hab CMT kerana kita tidak mahu pelajar dikongkong dalam satu bidang sahaja, contohnya pelajar al-Quran dan Sunnah juga belajar bidang Teknologi Maklumat," katanya.
Pada majlis sama, Idris turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESPORT), Nikon Malaysia serta Global Innovation & Entrepreneur Foundation (GIEF).
Objektif MoU itu bagi menggalak dan mempromosi kerjasama dalam bidang seperti pertukaran staf akademik dan bukan akademik dengan staf kerajaan; latihan industri kepada pelajar UiTM; menubuhkan rancangan penyelidikan bersama dan menyusun serta menerbitkan hasil penyelidikan bersama.
-Bernama
