Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Baju merah laung amaran, sedia bertembung BERSIH Nov ini
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 7:02 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Kumpulan baju merah di bawah Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia hari ini memberi amaran akan turun berhimpun pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan BERSIH 5 yang dijadualkan pada 19 November ini.

Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang juga adalah ketua bahagian Umno Sungai Besar berkata, ratusan ribu pengikut kumpulan baju merah tidak teragak-agak untuk 'bertembung' dengan peserta BERSIH.

"Tahun lepas kita dengar nasihat polis untuk tidak turun pada tarikh, masa dan tempat sama. Kali ini jika mereka berdegil dan ingkar arahan polis, kami juga akan melakukan perkara sama, kita juga akan keras kepala dan ingkari arahan polis.

"Biar kita bertembung, merah dan kuning, dan kita lihat siapa juara dan siapa anak jantan,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan Jamal itu disambut dengan laungan 'lawan!" dan "Hancur BERSIH!" daripada penyokongnya.

Jamal sebelum itu bersama pemimpin NGO itu yang diiringi lebih 50 ahli kumpulan baju merah membuat laporan polis terhadap BERSIH di Balai Polis Dang Wangi.

Mengulas lanjut, katanya, gerakan baju merah akan menentang secara habis-habisan dan juga turun di lokasi-lokasi 'roadshow' BERSIH 5 di seluruh negara yang dijadualkan sebulan sebelum himpunan di Kuala Lumpur.

"Kali ini kita akan tahu langit itu tinggi atau rendah.

"Kita bukan mengugut, tetapi kita akan lihat apa yang akan berlaku," kata Jamal dengan sekali lagi kenyataannya disambut dengan laungan "Hancur BERSIH!" oleh penyokongnya.

Katanya, BERSIH sepatutnya berhimpun di kawasan yang dibenarkan seperti di stadium dan mematuhi undang-undang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut pemimpin Umno itu, selama ini negara berada dalam keadaan yang aman tetapi cuba dihuru-harakan oleh ‘binatang sarkis’ yang didalangi oleh pembangkang.

"Kita selama ini berada dalam negara yang cukup aman dan damai.. orang ramai boleh membeli belah, boleh makan di kedai mamak dan bebas untuk ke mana-mana sahaja, tidak ada masalah.

"Tetapi dengan ada 'binatang sarkis' seperti mereka, keamanan negara kita akan terancam.

“Seruan mereka untuk menjatuhkan amalan demokrasi berperlembagaan dan Perdana Menteri amat kita kecam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS