ULASAN Ada yang cuba mempertikaikan pegangan Perlis dalam beragama. Sejak tahun 30-an sebelum merdeka, Perlis melalui gerakan pembaharuan Kaum Muda yang dipengaruhi oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha telah memilih jalan menjadikan segala perbezaan pendapat dikembalikan kepada nas al-Quran dan as-Sunnah.
Pegangan para sahabat dijadikan rujukan. Di samping itu, penggunaan akal yang waras dan rasional yang kuat juga dijadikan panduan dalam beragama.
Justeru, pada tahun 1948, Perlis antara yang terawal memasukkan Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai pegangan rasmi negeri. Di samping, atas dasar pemikiran yang luas, Perlis tidak mengikat diri dengan hanya satu mazhab, bahkan menerima kesemua mazhab-mazhab fekah yang berada dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah; Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafii, Mazhab Hanbali dan semua pandangan fekah lain yang ditarjih oleh Jawatan kuasa Fatwa rasmi Negeri Perlis. Ini menunjukkan Perlis paling menerima keluasan Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Hendaklah diketahui bahawa fatwa rasmi negeri Perlis tidak akan dikeluarkan melainkan setelah mendapat perkenan DYMM Raja Perlis. Pilihan Istana Perlis ialah pegangan yang tidak mengikat diri dengan mazhab fekah tertentu sebaliknya menerima kesarjanaan kesemua mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Buat masa ini, hampir kesemua ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis memiliki doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengajian Islam pelbagai cabang. Ada yang bermazhab tertentu khususnya mazhab Syafie dan ada yang cenderung kepada tarjih. Sebahagian besar mereka bukan orang asal Perlis. Inilah keterbukaan Perlis.
Atas dasar tarjih yang dipilih oleh fatwa Perlis, maka amalan rasmi negeri Perlis kadang kala ada perbezaan dengan amalan dalam mazhab Syafie, pun begitu amalan itu tidak lari nas-nas yang dipegang oleh mazhab-mazhab lain dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Antaranya:
- Fatwa Perlis membenarkan membayar zakat fitrah dengan wang (akhirnya diikuti oleh negeri-negeri lain). Ini pandangan asal dari mazhab Hanafi.
- Fatwa Perlis merupakan yang terawal membenarkan wanita menjadi hakim mahkamah. Ini setelah ditimbang dari pandangan pelbagai ulama. Dahulu fatwa ini dianggap satu dosa, hari ini sudah ada negeri lain yang mengikutinya.
- Fatwa Perlis mewajibkan zakat tanaman selain makanan asasi iaitu zakat harum manis. Ini selaras dengan pandangan mazhab Hanafi.
- Fatwa Perlis tentang Amanah Saham Bumiputera (ASB) dianggap paling menyeluruh dan dipuji oleh pelbagai pihak. Ini kerana mengambil kira ketegasan hukum, keluasan fekah dan situasi semasa.
- Fatwa Perlis bahawa seseorang yang baru menganut Islam hendaklah tidak mengubah nama bapanya. Ini seperti diamalkan di seluruh dunia sejak zaman Nabi SAW (kecuali Malaysia dan Brunei). Hal ini lebih adil untuk keluarganya kerana Islam itu adil untuk semua sekalipun kepada bukan Muslim.
- Amalan rasmi Perlis tidak berqunut subuh. Ini selaras dengan majoriti ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah.
- Mahkamah Syariah Perlis memegang pandangan talak tiga sekaligus jatuh satu talak seperti yang diterima pakai di kebanyakan negara Arab khususnya negara-negara Teluk.
- Amalan rasmi Perlis tidak menjaharkan basmalah semasa solat jahar. Ini perkara khilaf yang muktabar dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Perlis memilih tarjih yang demikian.
- Perlis menolak amalan tidak ada asas yang kukuh dari segi al-Quran dan as-Sunnah seperti pembomohan yang berunsur khurafat, kenduri arwah yang dibantah oleh semua mazhab termasuk Mazhab Syafie, amalan menjual bahan-bahan komersial atas nama agama dan lain-lain.
Pun begitu, tiada fatwa rasmi Perlis yang pernah membidaahkan khilaf yang muktabar seperti qunut subuh, basmalah jahar, solat tarawih lapan ataupun 20 rakaat. Jika ada yang terdengar hal ini, adalah fitnah semata.
Walaupun ada amalan rasmi negeri Perlis, pun begitu seseorang tidak diambil tindakan undang-undang hanya kerana khilaf yang muktabar. Seseorang awam tidak diambil tindakan kerana dia berqunut subuh ataupun menjaharkan basmalah ketika solat di masjid.
Bahkan, masih banyak masjid yang imamnya berqunut dan menjaharkan basmalah, mereka tidak diambil tindakan undang-undang. Jika sesiapa menyatakan imam-imam di Perlis semua dipecat kerana tidak berqunut, mereka adalah pendusta yang akan menjawab di hadapan Allah nanti. Soalan kita, apakah nasib imam-imam di negeri selain Perlis jika tidak berqunut? Di manakah kesederhanaan yang dikatakan itu?
Walaupun ada perbezaan pandangan dalam Perlis disebabkan pegangannya yang tidak fanatik kepada hanya satu mazhab, kita tidak pernah mendengar adanya perselisihan pendapat sehingga membawa kepada solat dua imam, tidak makan sembelihan sesama Muslim, bercerai suami isteri kerana berbeza aliran pendapat dan seumpamanya seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.
Sekalipun Perlis memakai fatwa pelbagai tokoh termasuk Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim, pun begitu tidak pernah berlaku peristiwa keganasan seperti Peristiwa Memali dan Lubuk Merbau di Kedah, kejadian serangan Kuil Kerling dan seumpamanya. Bahkan ramai yang terlibat IS dari pondok Kedah yang berjiran dengan Perlis, juga dari negeri-negeri lain. Alhamdulillah, setakat ini belum ada dari Perlis.
Pandangan agama daripada Perlis juga sederhana. Saya masih ingat apabila bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib membaca fatwa Perlis tentang hak penjagaan anak, kata beliau kepada saya:
“Jika semasa saya menggubal undang-undang dahulu ada fatwa yang seperti ini, mungkin kekecohan sekarang tidak sampai sebegini.”
Fatwa-fatwa seperti mengafirkan sesama Muslim, mengafirharbikan orang lain yang boleh membawa kepada menumpahkan darah sesama rakyat seperti baru-baru ini, tidak kedengaran dari Perlis, alhamdulillah. Juga Perlis tidak akan membenarkan penceramah yang suka mengafir dan memaki orang lain seperti menyebut: “mu lah kafir”, “hang nak masuk neraka ka”, “mufti anjing” dan yang seumpamanya seperti semua maklum yang berbau pengganas dan ektrimis.
Buku-buku Muhammad bin Abd al-Wahhab yang dikatakan sebagai pengasas wahabi, tidak pernah dijadikan rujukan rasmi di Perlis. Pernah ada seminar tentang Muhammad Abd Wahhab anjuran bersama pihak yang lain di Perlis. Pun begitu, kesimpulannya pandangan beliau tidak dijadikan rujukan di Perlis. Maka, tiada istilah Wahabi dalam fatwa Perlis. Pun begitu Perlis tidak menyesatkan aliran Muhammad bin Abd al-Wahhab bahkan menganggap beliau -seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan Dr Wahbah al-Zuhaili- mempunyai sumbangannya yang tersendiri.
Justeru itu, Perlis mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan Arab Saudi. Maka, Perlis menolak golongan ektrimis Syiah dan tarekat yang menyatakan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW itu tidak sah kerana imam-imam kedua masjid tersebut Wahabi.
Perlis menolak aliran ektrimis pelampau seperti itu. Perlis menyatakan, mereka itu dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perlis sering menerima kedatangan imam-imam Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW dengan penuh ukhuwwah. Maka, al-Syeikh Abdul Rahman as-Sudaisi dan selainnya sering datang ke Perlis atas dasar ini. Maka, golongan fanatik yang cenderung kepada mengafirkan sesama Muslim seperti golongan Ahbash dan murid Syiah Hasan Saqqaf menuduh Perlis pusat Wahabi.
Jelas, Perlis menerima keluasan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Walaupun ada pendapat yang ditarjihkan, namun Perlis atas dasar wasatiyyah menerima keluasan tanpa mengafirkan ataupun menyesatkan sama ada aliran Salafi, Ashaari ataupun Maturidi. Jika ada kritikan ilmiah dan bantahan pendapat terhadap pandangan aliran-aliran tersebut itu hanyalah dalam wacana ilmu tanpa pernah ada bukti fatwa Perlis mengafirkan ataupun menyesatkan.
Ya, Syiah memang ditolak di Perlis kerana ia boleh membawa kepada pertumpahan darah, khurafat yang dahsyat dan fitnah sesama Muslim. Lihat sahaja ceramah anak murid Hasan Saqqaf yang perkataan “kafir”, “murtad”, “anjing” dan segala perkataan jelek tidak lekang di mulutnya.
Tarekat juga tidak diamalkan di Perlis. Ini kerana, ramai golongan tarekat sering terbabit dengan sikap melampau, mengambil kesempatan, khurafat serta merendahkan akal yang waras. Golongan tarekat sering menuduh Perlis Wahabi kerana hal ini.
Perlis menolak segala kelompok estrimis Ashairah, Maturidiah, Salafiah dan selain mereka. Ekstrimisme tiada tempat di Perlis. Perlis adalah bumi untuk Muslim sederhana. Inilah wasatiyyah yang diamalkan di Perlis.
Sama ada hendak dilihat di sudut pro ataupun kontra, parti kerajaan sentiasa menang besar di Perlis. Di masa Kedah jatuh ke tangan pembangkang, Perlis masih kukuh dengan parti kerajaan Pusat. Di Perlis, pusat-pusat PAS sering kali kelihatan tidak selari dengan pandangan fatwa Negeri Perlis dalam amalan.
Ertinya, majoriti penyokong kerajaan Pusat adalah dari yang menerima pendekatan Perlis. Hal ini boleh dilihat dari pelbagai sudut yang berbeza. Maka, untuk menyatakan aliran Perlis antikerajaan, mungkin kurang tepat. Jika menyatakan aliran Perlis tegas memberikan pandangan sekalipun berbeza dengan kerajaan pusat, mungkin lebih tepat.
Semalam ada pertubuhan yang dianggotai oleh beberapa orang tarekat menyebut tentang ajaran di Perlis. Saya melihat kenyataan pertubuhan yang menamakan mereka Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) melalui pengerusinya iaitu seorang pengamal tarekat Naqsyabandiah Khalidiyah bernama Abd Kareem Said Khadaeid tentang Perlis.
Saya dengan ini menjemput beliau berforum terbuka di Perlis tentang “Bahaya Ekstrimisme Agama” sesuai dengan apa yang beliau sebut. Saya harap beliau akan membuat kenyataan persetujuan dengan kadar segera. Saya pasti beliau ada bahan yang hendak disampaikan. Jika alasan beliau kukuh, kita boleh menerima pakainya. Jika tidak, andai beliau sebagai seorang insan yang ada nilai diri beliau wajar membetulkan kenyataannya.
(Sekadar Perhatian: Pada 15 November 1984 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan keputusan tarekat Naqsyabandiah Khalidiyyah sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam).
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN mufti Perlis. Tulisan ini disediakan sebagai reaksi terhadap kenyataan AMIN semalam.
(Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi balas Abd Kareem terhadap dakwaan Dr Asri terhadapnya. - Pengarang)