Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO giatkan lobi anti-Wahabi, hantar memo pada KDN

Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) hari ni mendesak kerajaan supaya membanteras fahaman wahabi yang dilihatnya memberi ancaman keselamatan kepada negara.

Jurucakapnya Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata Wahabi yang dikaitkan dengan ilmuwan Ibnu Taimiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana menjurus kepada gerakan militan ekstrim seperti Negara Islam (IS).

“Kita sekarang mahu menjaga ketulenan agama kita dan kita mahu supaya mendesak agensi agama yang masih dalam keadaan keliru untuk menghormati desakan ini yang datang dari akar umbi iaitu berasaskan dengan ilmu, fakta sejarah, nas-nas al-Quran dan hadis.

“Kita akan nyatakan perkara ini kepada pelbagai lapisan seperti pihak berwajib, jabatan mufti, jabatan agama pada bulan ini dan juga mengatur mengadap duli tuanku dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Villa Puteri Kuala Lumpur.

Katanya, pihaknya akan menghantar memorandum kepada kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri bagi mengharamkan buku karya Ibu Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab.

Ia bagi menyenaraikan serta memperbetulkan segala bentuk penyelewengan yang tersasar daripada fahaman Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar.

“Kami juga mendesak mengharamkan kitab-kitab karangan mereka dari penerbitan, jualan dan edaran kepada masyarakat termasuk buku karangan mereka mereka yang mengambil fahaman wahabisme,” katanya.

Sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pandangan Ibnu Taimiyyah yang kontroversi sering dirujuk hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Gesa Asri supaya lebih 'beradab'

Sementara itu, gabungan tersebut turut mendesak pihak berwajib supaya mengharamkan penceramah yang dilihat mengajar fahaman Wahabisme dalam apa jua bentuk di negara ini.

Desakan itu turut ditujukan kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang digesa supaya lebih ‘beradab’ dalam memberikan ceramahnya yang dilihat memihak kepada fahaman Wahabi.

Abdul Kareem berkata, Asri seharusnya menghormati Raja-raja Melayu serta tidak memberikan pendapat yang dilihat menjurus kepada fahaman tersebut kerana beliau adalah mufti di negeri itu.

“Agama Islam di tanah Melayu ini kuasanya adalah di tangan sultan kita, bukan di tangan Mufti Perlis. Perlis adalah di bawah Raja Perlis, mufti dia di bawah sultan dia. Kami tidak akan menyentuh Perlis kerana menghormati Raja Perlis.

“Kami minta Mufti Perlis Menghormati mufti-mufti lain. Janganlah pendapat kita nak pakai luar Perlis. Kamu nak sebar pendapat kamu dalam Perlis itu hak kamu, raja kamu membenarkannya itu kami tak nak kacau.

“Kami orang Melayu hormat pada Sultan. Kita bukan Hang Jebat jadi kita minta supaya dia juga hormat pegangan sultan-sultan lain. Beradablah sikit,” tegasnya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Asri berhubung dakwaan tersebut.

Dalam sidang media selama lebih satu jam itu kelihatan beberapa individu memakai pakaian Melayu lengkap bertanjak  bagi menunjukkan penglibatan NGO Melayu dalam gabungan itu.

Gabungan itu terdiri daripada 105 NGO seperti Pertubuhan ASWAJA, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Veteran Umno, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Ilmuwan Sunni Malaysia (SUNNI) dan Kumpulan RABITAH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS