ADS
mk-logo
Berita
Peguam NCR kena jangkitan otak, keluarga perlu bantuan
Diterbitkan:  Sep 13, 2016 4:31 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mengadakan kutipan untuk mengumpul dana bagi membantu peguam bela serta aktivis alam sekitar Harisson Ngau yang dimasukkan ke hospital kerana "jangkitan dalam otak".

JOAS dalam satu kenyataan berkata Ngau dikejarkan ke Kuching melalui penerbangan sewa khas semalam.

Penerbangan khas yang memakan kos sebanyak RM37,000 itu terpaksa dibuat ekoran kemudahan hospital yang tidak mencukupi di Miri bagi tujuan diagnosis.

"Doktor maklumkan mereka memerlukan mesin resolusi yang lebih tinggi. Terdapat satu di Hospital Umum Miri tetapi untuk menggunakannya perlu menunggu giliran dan dia perlu dimasukkan ke hospital selama beberapa hari.

"Jadi, untuk mendapatkan diagnosis segera untuk merawat penyakitnya, doktor memutuskan untuk merujuk beliau ke Hospital Timberland, Kuching kerana di sana terdapat mesin resolusi yang lebih tinggi," kata pengarah sekretariat JOAS Mark Bujang.

ADS

Ngau, kini berada di unit rawatan rapi di Hospital Timberland bagi menunggu keputusan imbasan dan kini berada dalam keadaan sedar serta boleh bercakap, kata Bujang.

Bekas Ahli Parlimen Baram itu dimasukkan ke Hospital Columbia Asia, Miri apabila hilang upaya untuk berjalan dan ucapannya tidak jelas.

Beliau pernah mewakili peribumi Sarawak dalam kes-kes hak tanah adat (NCR) selama lebih 20 tahun dan mewakili masyarakat Baram di mahkamah untuk projek empangan Baram yang baru-baru ini dibatalkan.

Beliau juga pernah ditahan selama 60 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Ops Lalang pada tahun 1987 kerana aktiviti anti-pembalakan.

Sumbangan boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank isterinya Uding Ngau ini (161181039023).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS