Setelah dua bulan melepaskan jawatan dalam kerajaan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengakui sangat tertekan dengan isu 1MDB sewaktu menjadi menteri kewangan kedua.
Malah, Ahmad Husni mendedahkan tekanan darahnya naik mendadak selama lima jam pada awal April lalu kerana begitu tertekan sebelum meletakkan jawatan, lapor Sinar Harian, hari ini.
“Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada.
“Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam kabinet atau tidak?”
“Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?” katanya dalam wawancara dengan akhbar itu.
Walau tidak menyatakan dengan jelas masalahnya ketika mengendali isu tersebut, Husni, yang melepaskan jawatan secara mendadak pada 27 Jun, meluahkan tidak setuju dengan cara 1MDB dikendalikan.
Beliau menyebut ada pemimpin “hipokrit” mengendalikan isu berkaitan rasuah.
Beliau "dihentam" apabila cuba membentangkan langkah pembaikan sewaktu indeks tanggapan rasuah (CPI) Transparency International negara ini makin merosot.
Berikutan itu, Ahmad Husni merancang untuk meninggalkan kabinet sejak Januari lagi, tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana “tidak tergamak” melakukannya.
Namun, hasrat untuk berundur itu menjadi tekad setelah beliau mendengar kata-kata seorang pegawai kanan kerajaan yang berjaya membuka matanya untuk tidak lagi dibayangi masalah 1MDB.
Tak dirujuk
Ahmad Husni berkata keputusan tersebut dibuat ketika beliau berada di Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean.
“Saya beritahu pegawai saya, saya tidak berapa sihat pada sebelah tengah hari dan saya tidak mampu untuk hadir ke mesyuarat sebelah petang.
“Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata ‘semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?’
“Kata-kata itu membuka hati saya... harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega," luah Ahmad Husni.
Malah, Ahmad Husni berkata selepas kejadian itu 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hatinya.
Selain itu, Anggota Parlimen Tambun itu juga dipetik berkata walaupun memegang jawatan menteri kewangan kedua, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang penubuhan 1MDB pada 2009.
"Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada 2009. Saya tak dirujuk walaupun saya menteri kewangan II.
"Bila dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB?” soal Ahmad Husni.
Tak libat diri
Mengulas lanjut Ahmad Husni berkata ini kerana penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.
Namun, apabila kontroversi syarikat pelaburan itu memuncak, beliau ditugas menyediakan jalan penyelesaian hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif.
"Saya tidak libatkan diri dalam urusan 1MDB sehinggalah tahun 2015 di mana pada awal tahun tersebut saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunai yang negatif.
"Dengan izin Allah swt, dengan bantuan SUSK kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB,namun saya tak terlibat dalam pelaksanaan pelan tersebut," kata Ahmad Husni.
Sinar Harian juga memetiknya berkata, dirinya amat berharap masalah 1MDB dapat diatasi kerana sebarang perkembanngan negatif boleh menjejaskan rating negara.
Malah, katanya, ini juga akan membawa kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat.
Ahmad Husni meletakkan jawatan pada akhir Jun lalu secara mendadak, sejurus sebelum Najib mengumumkan rombakan kabinet, menimbulkan tanda tanya dan spekulasi.
Beliau juga meletakkan semua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
Pada waktu itu Ahmad Husni menafikan pengundurannya ada kaitan dengan syarikat kontroversi 1MDB.